Kelemahan tatakelola punca polemik insentif atlet paralimpik.

Kelemahan tatakelola punca polemik insentif atlet paralimpik

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kontroversi pembayaran imbuhan atlet paralimpik yang tercetus baru-baru ini mendedahkan kelemahan tatakelola dan garis panduan tadbir urus dalam pengurusan sukan negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, isu tersebut tidak boleh dilihat hanya sebagai soal bayaran tertunggak, sebaliknya berpunca daripada kelemahan sistem tadbir urus yang tidak jelas.

“Dua tiga hari ini kita dengar mengenai keluhan seorang atlet paralimpik yang mendakwa imbuhan tidak dibayar. Itu dakwaan dia, dan ada pihak sudah memberi maklum balas.

“Tetapi yang jelas di sini, isu sebenar adalah mengenai tatakelola, sama ada ia tidak difahami, tidak dimaklumkan atau tiada garis panduan yang sempurna,” katanya pada Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Ke-4, di sini hari ini.

Beliau mengulas isu itu ketika menyentuh kajian bertajuk ‘Risiko Dalam Industri Sukan Elektronik (E-sport) Negara’ yang dibentangkan oleh Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Azam berkata, isu tatakelola bukan hanya boleh berlaku dalam sukan fizikal tetapi juga dalam industri sukan elektronik (e-sukan) yang kini berkembang pesat.

“Bagaimana menguruskan e-sukan sama saja dengan sukan fizikal. Jika tatakelola tidak jelas, polemik akan tetap berlaku.

“Kita menuju ke arah digitalisasi dan kecerdasan buatan. Sama ada suka atau tidak, isu governans mesti diperkukuh,” katanya.

Isu imbuhan itu tercetus apabila jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou mendedahkan beliau masih belum menerima insentif tunai RM60,000 yang dijanjikan selepas meraih emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Kekecewaan Liek Hou yang disuarakan secara terbuka mencetuskan kontroversi baharu apabila Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyatakan pihaknya akan mengambil tindakan tegas, dengan alasan kenyataan itu mencalarkan kredibiliti organisasi serta menjejaskan keyakinan penaja.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×