Keadaan kemanusiaan meruncing, wanita Gaza bersalin di tepi jalan

Keadaan kemanusiaan meruncing, wanita Gaza bersalin di tepi jalan

SEORANG wanita Palestin menangis sambil mendukung jenazah seorang bayi yang terbunuh dalam serangan Israel di Gaza City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ribuan ibu-ibu hamil di Palestin dilaporkan terpaksa melahirkan anak di kawasan tepi jalan terbuka ketika penduduk berpusu-pusu melarikan diri daripada bedilan peluru berpandu dan kereta kebal Israel.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, wanita-wanita hamil melalui situasi ngeri dan menyedihkan itu ketika ribuan penduduk dipindahkan akibat operasi ketenteraan Israel yang semakin buruk sejak minggu lalu.

“Serangan Israel di Gaza memaksa wanita melahirkan anak di atas jalan, tanpa hospital, doktor atau air bersih,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric, dalam sidang media memetik Tabung Penduduk PBB (UNFPA).

BERSALIN TANPA UBAT

Menurut Dujarric lebih 23,000 wanita tidak menerima rawatan ketika atau selepas bersalin dan kira-kira 15 bayi dilahirkan setiap minggu tanpa sebarang bantuan perubatan.

Keruntuhan perkhidmatan kesihatan sejak kegagalan gencatan senjata pada Mac turut menyebabkan 80 pusat perubatan dan  penjagaan kesihatan primer yang menyediakan perkhidmatan pesakit luar berkaitan kesihatan seksual, ginekologi  dan reproduktif terjejas teruk, dengan 65 daripadanya tidak lagi berfungsi.

Dujarric menggesa perlindungan segera terhadap orang awam, sambil menekankan bahawa situasi di lapangan semakin meruncing dari jam ke jam.

Beliau menegaskan, arahan pemindahan tidak melepaskan pihak-pihak yang berkonflik daripada tanggungjawab mereka untuk melindungi orang awam terutamanya golongan-golongan ibu hamil dan kanak-kanak.

Katanya, Israel sekali lagi mengarahkan penduduk di Gaza City supaya meninggalkan kawasan itu dalam tempoh 48 jam dan bergerak ke selatan melalui laluan sementara di jalan Salah ad-Din, iaitu jalan utama yang merentasi pusat Semenanjung Gaza.

“Beribu-ribu orang terus melarikan diri di tengah-tengah pertempuran. Jalan raya, seperti yang anda boleh bayangkan, keadaannya sangat sesak. Orang ramai kelaparan dan kanak-kanak mengalami trauma,” katanya.

Dujarric melaporkan, hampir 40,000 orang dipindahkan ke selatan antara Isnin dan Selasa, dengan kira-kira 200,000 pergerakan direkodkan sejak pertengahan Ogos.

“Rakan-rakan kemanusiaan menubuhkan tiga pusat sokongan di kawasan penerimaan pelarian di selatan Gaza untuk membantu kanak-kanak yang terpisah, yatim piatu dan cedera,” katanya.

Israel dilaporkan terus menghalang operasi bantuan di wilayah terkepung itu walalupun arahan pemindahan besar-besaran dikeluarkan  Gaza City.

“Tiga pergerakan kemanusiaan untuk mengutip bekalan makanan dari lintasan masuk ke Gaza sama ada dibatalkan atau dinafikan.

“Misi lain difasilitasi tetapi menghadapi halangan di lapangan. 

“Lintasan Zikim kekal ditutup untuk hari kelima berturut-turut,” katanya.

AS TIADA KEWIBAWAAN 

Sementara itu, seorang pegawai kanan Hamas, Ghazi Hamad, menyifatkan pengalaman kumpulannya bekerja dengan Amerika Syarikat (AS) yang menjadi perantara bagi menghentikan peperangan itu sebagai sesuatu yang ‘pahit’.

Beliau menegaskan, Washington tidak mempunyai kewibawaan selepas pentadbiran Presiden AS, Donald Trump menarik balik cadangan gencatan senjata di Gaza.

Hamad yang terselamat daripada serangan di Doha berkata, rancangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk mengubah landskap politik Asia Barat memerlukan tindak balas segera daripada negara-negara Arab.

Ahli Biro Politik Hamas itu turut menegaskan, kumpulannya tidak memerlukan arahan daripada Trump mengenai bagaimana mereka harus melayan tawanan Israel yang berada dalam tahanan di Gaza.

“Trump tidak menakutkan kami. Layanan terhadap tawanan berasaskan kepercayaan dan prinsip Islam.

“Kami melayan tahanan berdasarkan nilai kami dan meskipun rakyat kami diserang, pihak yang sebenarnya meletakkan mereka dalam bahaya adalah pendudukan Israel itu sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×