WINDSOR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump diraikan dalam satu jamuan negara penuh adat istiadat di Istana Windsor, semalam yang turut dihadiri konglomerat media, Rupert Murdoch.
Trump, 79, yang dalam lawatan negara keduanya ke Britain, menikmati menu mewah termasuk watercress panna cotta, ayam belanda panggang gaya ballotine, serta pencuci mulut aiskrim vanila dengan sorbet raspberi.
Jamuan itu diadakan di Balai St. George yang berusia hampir 1,000 tahun, diketuai sendiri oleh Raja Charles III.
Meja jamuan yang luar biasa panjangnya diibaratkan sepanjang tiga helikopter rasmi Marine One, dihiasi 139 lilin, 1,452 set peralatan makan, serta diuruskan lebih 100 kakitangan istana.
Pegawai istana memaklumkan, persiapan meja sahaja mengambil masa seminggu.
Walaupun suasana penuh meriah, namun kemunculan Murdoch, taikun media kelahiran Australia berusia 94 tahun itu mencetuskan tanda tanya.
Trump sebelum ini mengemukakan saman bernilai AS$10 bilion (RM41.95 bilion) terhadap Murdoch dan Wall Street Journal berhubung laporan mengaitkan dirinya dengan mendiang pesalah seks, Jeffrey Epstein.
Meskipun isu itu menjejaskan hubungan diplomatik termasuk pemecatan Duta Britain ke Washington, Peter Mandelson, Murdoch tetap disenaraikan sebagai tetamu.
Bagaimanapun, beliau ditempatkan jauh daripada Trump di meja berkenaan.
Selain Murdoch, antara tetamu lain ialah Putera William bersama isterinya, Puteri Catherine, anak perempuan Trump, Tiffany serta suaminya, selain beberapa tokoh teknologi seperti Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang dan Ketua Eksekutif OpenAI, Sam Altman. -AFP










