GENEVA: Lapisan ozon bumi kini berada di landasan untuk pulih sepenuhnya dan menjadi suatu kejayaan besar dalam usaha melindungi alam sekitar.
Namun, laporan baharu memberi amaran perkembangan positif ini sebaliknya berpotensi menyumbang kepada peningkatan pemanasan global.
Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) dalam laporan yang dikeluarkan sempena Hari Antarabangsa Pemeliharaan Lapisan Ozon pada Selasa menyatakan saiz ‘lubang ozon’ pada 2024 mengecil berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“40 tahun lalu, negara-negara bersatu melindungi lapisan ozon yang dipandu oleh sains, digerakkan dengan tindakan bersama. Setiap pecahan darjah suhu adalah penting, setiap tindakan memberi kesan,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.
Menurut WMO, lapisan ozon yang bertindak sebagai perisai semula jadi bumi daripada sinaran ultraungu berbahaya dijangka pulih sepenuhnya menjelang pertengahan abad ini.
“Konvensyen Vienna dan Protokol Montreal menjadi penanda aras kejayaan kerjasama pelbagai hala. Hari ini, lapisan ozon sedang sembuh,” tambah Guterres.
Namun, kajian berasingan oleh Universiti Reading mendapati perubahan ozon antara 2015 hingga 2050 boleh menyumbang kira-kira 0.27 watt per meter persegi tambahan kepada pemanasan atmosfera iaitu kira-kira 40 peratus lebih tinggi daripada anggaran sebelum ini.
Ini menjadikan ozon sebagai pemacu kedua terbesar pemanasan global selepas karbon dioksida menjelang pertengahan abad.
Penghapusan penggunaan klorofluorokarbon (CFC) sebelum ini berjaya mencegah berjuta-juta kes kanser kulit, katarak, serta kerosakan ekosistem, tetapi, apabila lapisan ozon semakin menebal, ia juga bertindak memerangkap lebih banyak haba di atmosfera, sekali gus berfungsi seperti gas rumah hijau tambahan. -AGENSI











