Ribuan penduduk Gaza City larikan diri ke selatan, terdesak cari tempat perlindungan

Ribuan penduduk Gaza City larikan diri ke selatan, terdesak cari tempat perlindungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ribuan rakyat Palestin terpaksa melarikan diri dari Gaza City selepas Israel meningkatkan pengeboman dan memulakan serangan darat besar-besaran ke atas kawasan yang didakwanya sebagai kubu terakhir Hamas.

Pencerobohan yang sudah lama dijangka bermula di pinggir bandar, dengan tentera rejim memperhebat serangan udara dan memusnahkan menara tinggi sepanjang minggu lalu,

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan operasi itu sebagai ‘fasa kritikal’ dalam usaha menewaskan pejuang Hamas, manakala Menteri Pertahanan, Israel Katz, dalam kenyataan pada Selasa mendakwa ‘Gaza sedang terbakar’.

Operasi ketenteraan itu berlaku ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak lain memberi amaran serangan intensif akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan, dengan sebahagian kawasan Gaza secara rasmi diisytiharkan zon kebuluran.

Bagi rakyat Palestin, serangan itu sekali lagi memaksa mereka meninggalkan khemah perlindungan dalam keadaan ketakutan.

Jalan Al Rashid dan Salah al-Din dibanjiri ribuan keluarga yang membawa tilam, selimut serta barangan asas, menuju ke selatan untuk mencari perlindungan.

“Takut, semuanya takut. Letupan hanya di atas kepala kami sepanjang hari. Saya juga tidak dapat tidur sepanjang malam,” kata Maysar Al Adwan dari Gaza City kepada CNN.

Seorang lagi penduduk Gaza City, Rawan Al Salmoni mengaku semakin letih apabila dipaksa berpindah berulang kali dan membawa empat anak termasuk bayi.

“Saya bersumpah dengan nama Tuhan, kami akan mati di sini. Ianya satu keajaiban jika kami dapat keluar daripada penderitaan ini,” katanya.

TIDAK PEDULI TEKANAN GLOBAL

Menerusi pelan operasi Kabinet Keselamatan Israel yang diluluskan pada Ogos, serangan ke atas bandar itu sepatutnya bermula selepas rejim berjaya memaksa penduduk Palestin berpindah ke kawasan al-Mawasi.

Israel juga sepatutnya memperluaskan bilangan kemudahan bantuan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) kepada 16 tapak.

Tetapi, hanya kira-kira lima yang kini beroperasi, sehingga memaksa rakyat Palestin berjalan berjam-jam untuk mendapatkan makanan dan bantuan yang diperlukan.

Di tengah dan utara Gaza, rakyat Palestin mengangkut apa sahaja barangan yang sempat dibawa untuk melarikan diri, dalam usaha terdesak mereka mencari tempat selamat.

Orang ramai berpusu-pusu di Lebuhraya Al-Rashid ketika mereka cuba menuju ke selatan di sepanjang jalan yang sesak hingga kereta hampir tidak dapat bergerak.

“Kami lari daripada kemusnahan dan runtuhan. Kami bergerak dari kematian ke kematian, keadaan yang sangat buruk,” kata Ahmad Abul-hal kepada CNN.

Kira-kira sejuta orang, hampir separuh daripada populasi wilayah itu, tinggal di dalam dan sekitar Gaza City.

Israel cuba memaksa penduduk tempatan berpindah, namun pasukan rejim berkata, hanya sekitar 40 peratus yang meninggalkan kawasan tersebut setakat ini, angka yang tidak dapat disahkan.

Keputusan Netanyahu untuk meneruskan operasi, walaupun menerima kecaman antarabangsa yang semakin meningkat serta kebimbangan pegawai keselamatan Israel, menggambarkan kesediaannya menentang tekanan global dan melaksanakan perang mengikut cara sendiri.

PENDERITAAN KANAK-KANAK GAZA

Agensi Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) turut memberi amaran sebarang peningkatan dalam operasi ketenteraan akan melipatgandakan penderitaan kanak-kanak dan hak keselamatan mereka.

“Di Gaza City, seramai 450,000 kanak-kanak berdepan kebuluran dan trauma, tanpa menerima bantuan akibat sistem perubatan yang runtuh,” kata UNICEF dalam hantaran di X.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) merayu campur tangan antarabangsa dan meminta Amerika Syarikat (AS) untuk bertindak.

“Seluruh dunia menolak peningkatan konflik, menganggapnya sebagai jenayah perang terhadap kemanusiaan yang akan membawa ketegangan serta ketidakstabilan di rantau itu,” kata jurucakap pejabat Presiden PA, Nabil Abu Rudeinah, dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Israel secara jelas mendapat sokongan AS di bawah pentadbiran Donald Trump, melalui lawatan Setiausaha Negara, Marco Rubio ke Baitulmuqaddis sejurus rejim mengumumkan serangan terbaharunya.

Isnin lalu, Rubio menuntut Hamas membebaskan 48 tebusan yang masih ditahan di Gaza dan melepaskan kuasa, walaupun mengakui ia sukar untuk dicapai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×