WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan lanjutan penangguhan pelaksanaan larangan terhadap aplikasi TikTok sehingga 16 Disember, menandakan kali keempat undang-undang itu ditangguhkan sejak diperkenalkan bagi memaksa penjualan aplikasi tersebut daripada pemilik asalnya di China.
Pengumuman itu dibuat melalui perintah eksekutif, meskipun Trump pada hari sama memberitahu media, AS dan China sudah mencapai persetujuan berhubung struktur pemilikan baharu untuk operasi TikTok di negara itu.
Penangguhan terbaharu ini menyusuli penangguhan sebelumnya pada Januari, April dan Jun, ketika pentadbiran AS berdepan cabaran rumit dari segi undang-undang serta keselamatan negara berkaitan operasi TikTok di AS.
Tarikh tamat penangguhan sebelum ini sepatutnya berkuat kuasa pada Rabu, sekali gus membolehkan undang-undang yang ditandatangani Presiden ketika itu, Joe Biden pada 2024, memaksa penutupan TikTok di AS kerana kaitannya dengan pemilikan China.
Undang-undang tersebut digubal bagi menangani kebimbangan keselamatan negara terhadap syarikat induk TikTok, ByteDance, dan potensi hubungannya dengan kerajaan China.
Namun, Trump memilih menangguhkan larangan itu selepas menang pilihan raya 2024 sertai mengakui beliau gemar menggunakan TikTok.
Aplikasi video pendek tersebut sebelum ini sering menjadi perhatian pegawai AS yang bimbang mengenai pengumpulan data dan manipulasi kandungan.
TikTok berulang kali menafikan dakwaan berkongsi data pengguna dengan pihak berkuasa China serta mencabar pelbagai sekatan di mahkamah persekutuan.
“Kami sudah ada perjanjian mengenai TikTok. Saya akan bercakap dengan Presiden, Xi Jinping pada Jumaat untuk mengesahkan semuanya,” kata Trump ketika meninggalkan Rumah Putih menuju lawatan rasmi ke Britain.
Menurutnya lagi, beberapa syarikat besar berminat membeli pegangan TikTok, dan beliau tidak mahu melihat nilai sebesar itu dibazirkan.
China turut mengesahkan kedua-dua pihak telah mencapai satu rangka kerja perjanjian yang dijangka dimuktamadkan dalam perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin tersebut.
TikTok kini memiliki hampir dua bilion pengguna di seluruh dunia.
Menurut Wall Street Journal, di bawah susunan baharu itu, operasi TikTok di AS akan dikawal oleh konsortium pelabur termasuk gergasi teknologi awan, Oracle dan firma modal teroka, Andreessen Horowitz, manakala pemilik asal China hanya mengekalkan pegangan kurang 20 peratus dalam perniagaan AS, selaras dengan undang-undang. -AFP










