UTAH: Pendakwa raya negeri Utah mendakwa remaja lelaki berusia 22 tahun, Tyler Robinson atas kesalahan membunuh aktivis konservatif, Charlie Kirk, dalam insiden tembakan di Universiti Utah Valley (UVU) pada 10 September lalu.
Peguam daerah Utah, Jeff Gray berkata, pihaknya akan menuntut hukuman mati terhadap Robinson sekiranya disabitkan kesalahan.
Robinson berdepan tuduhan membunuh dengan sengaja, melepaskan tembakan secara jenayah serta mengganggu saksi selepas didakwa mengarahkan rakan serumahnya memadam mesej berbaur ancaman dan berdiam diri jika disoal siasat polis.
Menurut Gray, faktor pemberat yang membawa kepada tuduhan hukuman mati termasuk sifat jenayah itu sendiri yang berlaku kerana ‘ekspresi politik’ mangsa berusia 31 tahun serta kehadiran kanak-kanak ketika kejadian.
“Ini keputusan yang saya ambil berdasarkan bukti dan keadaan jenayah ini, bukan sesuatu yang dibuat dengan mudah,” katanya dalam sidang akhbar.
Tambah Gray, maklumat daripada ibu suspek mendapati Robinson yang sebelum ini dibesarkan dalam keluarga konservatif, mula cenderung kepada politik haluan kiri termasuk menyokong hak gay dan transgender serta dilaporkan menjalin hubungan dengan rakan serumahnya yang sedang menjalani proses perubahan jantina.
Robinson ditahan sehari selepas kejadian tersebut di mana gambarnya dikenal pasti dalam foto suspek yang disebarkan polis.
Sebelum menyerah diri dengan bantuan kenalan keluarganya yang merupakan pegawai penguat kuasa, Robinson dipercayai mengaku bertanggungjawab dalam mesej kepada rakan-rakan di platform Discord.
Antara bukti utama mengaitkannya dengan pembunuhan itu ialah DNA pada tuala yang membalut senapang dipercayai digunakan dalam tembakan, selain mesej teks kepada rakan serumahnya.
“Saya ada peluang untuk menyingkirkan Charlie Kirk, dan saya akan lakukannya,” katanya dalam mesej itu.
Pendakwa turut mendedahkan beberapa peluru yang digunakan mempunyai ukiran tulisan bernada ejekan, termasuk frasa berkaitan komuniti dalam talian serta lirik lagu anti-fasis Itali, Bella Ciao.
Robinson kini ditahan tanpa jaminan di penjara daerah Utah dan membuat penampilan awal secara maya di mahkamah manakala Hakim Tony Graf menetapkan perbicaraan semula pada 29 September ini. –AGENSI











