TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengaku negara haram itu sedang berdepan pengasingan di peringkat antarabangsa susulan perang di Gaza yang hampir memasuki tahun kedua.
Memberi amaran keadaan itu boleh berlanjutan selama bertahun-tahun, Netanyahu menegaskan Israel kini tiada pilihan selain bergantung kepada kekuatan sendiri.
Pemimpin ekstremis itu berkata, ekonomi Israel perlu menyesuaikan dengan ciri-ciri autarki, yang kurang bergantung kepada perdagangan luar.
“Itu perkataan yang saya benci,” katanya ketika berucap pada persidangan anjuran Kementerian Kewangan, kelmarin.
Netanyahu menegaskan, antara sektor utama bakal terjejas adalah perdagangan senjata, yang mungkin memaksa Israel mengurangkan kebergantungan terhadap import persenjataan asing.
“Kita perlu membangunkan industri persenjataan sendiri, pada masa sama kita akan jadi Athens dan Sparta moden. Kita tiada pilihan sekurang-kurangnya untuk tahun mendatang ketika berdepan cubaan pengasingan ini,” katanya.
Meskipun mengetahui kemungkinan ‘dipulaukan’, Netanyahu tetap bertegas untuk mengekalkan pendirian asal walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai pihak memberi amaran serangan berterusan ke atas Gaza City akan meningkatkan korban dan kemusnahan.
Penentangan terhadap perluasan perang turut datang daripada rakyat Israel sendiri, keluarga tebusan dan sebahagian anggota tentera rejim, yang bimbang tindakan itu memburukkan krisis kemanusiaan, namun tetap tidak dipedulikan Netanyahu.
Israel kini berdepan embargo senjata separa atau sepenuhnya daripada beberapa negara Eropah, termasuk Perancis, Belanda, United Kingdom (UK), Sepanyol dan Itali.
Namun, majoriti import persenjataannya masih datang dari Amerika Syarikat (AS) yang tidak mengenaskan sekatan serta menggesa negara lain untuk turut tidak berbuat demikian.
Selama bertahun-tahun, Israel digelar kuasa ekonomi serantau hasil industri teknologi tingginya.
Namun, perang di Gaza kini menjadi yang paling panjang dan termahal dalam sejarah negara itu sehingga memberi kesan hebat kepada ekonomi Israel.- CNN










