ALOR SETAR: Muktamar Tahunan Pas ke-71 sedikit panas apabila Perwakilan dari Titiwangsa membangkitkan insiden di Kampung Sungai Baru dan isu Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Pembentang usul politik yang diluluskan untuk dibahaskan pada muktamar itu, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz menegaskan bahawa isu tersebut bukan soal politik, perkauman atau menolak pembangunan tetapi ketelusan kerajaan.
“Ini bukan isu politik untuk kita tunggang, bukan isu perkauman untuk kita pecah-belahkan dan bukan soal pembangunan yang kita tolak tapi isunya adalah ketelusan kerajaan.
“Mengapa diluluskan dalam keadaan tergesa-gesa. Tanpa kajian, tanpa pertimbangan yang benar daripada kerajaan. Sebab itu kami tampil dalam hal ini,” katanya ketika membentangkan usul tersebut di sini, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya URA diteruskan lebih banyak penduduk asal di kawasan tersebut akan terpinggir dan kehilangan hak memiliki rumah.
“Ini melibatkan populasi orang Melayu, Cina dan India. Isunya bukan soal perkauman. Bukan soal politik, bukan soal tolak pembangunan. Isunya bagaimana hak minoriti yang akan terus dinafikan, dianak tirikan pada masa akan datang.
“Isu Kampung Sungai Baru adalah gambaran awal kepada URA yang akan dilaksanakan, bayangkan kalau URA dilaksanakan. Berapa ramai orang yang akan terpinggir, tercedera dan akan menangis selain rasa disisih dan dipinggirkan,” katanya. – UTUSAN










