KUALA NERUS: Terengganu terus membuktikan statusnya sebagai destinasi pelancongan utama negara apabila merekodkan kehadiran lebih 6.9 juta pelancong sepanjang enam bulan pertama tahun ini, hampir menyamai sasaran tahunan sebanyak 8.5 juta pengunjung.
Pengiktirafan sebagai negeri paling bahagia di Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini turut memperkukuh jenama Terengganu sebagai lokasi percutian pilihan, dengan gabungan tarikan semula jadi, budaya dan keramahan penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pencapaian itu amat memberangsangkan kerana pelancongan domestik menyumbang hampir 70 peratus daripada jumlah berkenaan manakala bakinya pelancong antarabangsa.
“Dalam tempoh separuh tahun sahaja kita sudah melepasi jangkaan asal. Jika momentum ini berterusan, tidak mustahil Terengganu mampu mencatatkan lebih 10 juta pelancong pada hujung tahun nanti,” katanya selepas majlis penutup Karnival Pantai Terengganu di sini, kelmarin.
Razali berkata, Karnival Pantai yang menjadi acara tahunan negeri itu berjaya menarik lebih 130,000 pengunjung sepanjang penganjuran meskipun dua malam pertama hujan lebat menyebabkan sedikit penurunan berbanding 150,000 tahun lalu.
Katanya, kelainan tahun ini apabila pentas utama acara benar-benar digerakkan di kawasan pantai berbanding edisi sebelum ini sekali gus memberi pengalaman baharu kepada pengunjung.
Antara acara yang mencuri perhatian ialah pertandingan ulit mayang yang bakal dipatenkan bersama Muzium Negeri Terengganu serta pertandingan dikir barat, selain kerjasama bersama Pusat SDG Negara di bawah Kementerian Ekonomi dalam program pembersihan pantai.
“Semua lapan daerah di Terengganu turut mengambil bahagian dalam karnival ini, menunjukkan kesepaduan komuniti dan kreativiti tempatan menjadi daya tarikan pelancong. Malah usaha kebersihan pantai juga dijadikan produk pelancongan negeri,” katanya.
Beliau berkata, kemeriahan acara seperti karnival tersebut selari dengan pengiktirafan Terengganu sebagai negeri paling bahagia apabila rakyatnya bukan sahaja dapat menikmati kualiti hidup yang baik malah sudi berkongsi keramahan dengan pelancong yang hadir.-UTUSAN.










