WASHINGTON: Lebih 100 hari selepas pengunduran dramatik hartawan, Elon Musk daripada Rumah Putih, kakitangan persekutuan masih bergelut dengan kesan jangka panjang daripada operasi Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang pernah diterajuinya.
Kesan serangan luar biasa terhadap birokrasi persekutuan itu dijangka berlarutan selama beberapa tahun lagi.
Dari pejabat sederhana di bangunan eksekutif bersebelahan Rumah Putih, Musk merancang pengambilalihan agresif terhadap pelbagai agensi kerajaan.
Strateginya jelas, menghantar pasukan pakar teknologi kecil untuk menyusun gerakan sistematik merombak serta mengganggu lebih dua juta anggota perkhidmatan awam negara.
Kempen gempur yang mengejutkan itu kini berjaya melangkaui jangkaan.
Menurut Partnership for Public Service, sebuah NGO dwipartisan berpangkalan di Washington, hampir 200,000 penjawat awam sudah meninggalkan perkhidmatan persekutuan setakat ini.
Bagi ramai pekerja terbabit, termasuk veteran tentera, pengalaman itu amat traumatik apabila kerjaya berdekad-dekad tamat secara mendadak dan hasil kerja seumur hidup mereka dianggap sia-sia.
Selepas perpecahan besar antara Musk dan Presiden, Donald Trump pada musim bunga lalu, DOGE hampir sepenuhnya dibubarkan.
“Tidak banyak yang tinggal daripada operasi asal. Ia seumpama Godzilla meratakan sebuah bandar dan pergi. Godzilla sudah tiada, tetapi bandar tetap musnah.
“Pertaruhan saya, bagi setiap pembocoran maklumat yang anda lihat, ada gandaan besar perkara buruk yang berlaku tetapi tidak kita ketahui,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Partnership for Public Service, Max Stier.
SEKUTU MASIH KEKAL
Musk kini mendakwa kerajaan AS pada dasarnya tidak boleh diperbaiki, selepas menyimpulkan ahli politik dari kedua-dua parti akan terus menolak pemotongan belanjawan yang berisiko menyinggung pengundi dan penderma.
Sebahagian besar kepimpinan DOGE meninggalkan jawatan selepas Musk, termasuk orang kanannya, Steve Davis yang mengetuai pasukan itu menyusup masuk pejabat dan sistem komputer kerajaan untuk melaksanakan pengurangan bajet.
Namun, masih ada beberapa ‘sekutu’ mereka kekal dalam kerajaan persekutuan sebagai pekerja biasa tetapi terus mempengaruhi dasar, sekali gus menjadikan kegiatan mereka sukar dipantau.
“Jangan salah anggap bila wajah lantang Musk sudah tiada. Mereka belum lenyap. DOGE masih wujud dan terus menimbulkan kekacauan,” kata seorang pegawai Pentagon yang enggan dinamakan bagi mengelak tindakan balas.
Beberapa sekutu rapat Musk dilaporkan masih memegang jawatan penting antaranya pengasas bersama Airbnb dan Ahli Lembaga Tesla, Joe Gebbia yang kini mengetuai kerja penyusunan semula laman web kerajaan.
Selain itu, Ketua Maklumat di Pentadbiran Jaminan Sosial, Aram Moghaddassi yang didakwa memuat naik pangkalan data kritikal ke pelayan awan, berpotensi mendedahkan maklumat peribadi ratusan juta rakyat AS kepada penggodam.
Pelabur dalam syarikat permulaan kesihatan, Brad Smith pula pada awalnya meninggalkan DOGE selepas melaksanakan pemotongan besar di Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia yang kini diterajui Robert F. Kennedy Jr., tetapi kembali untuk mengetuai inisiatif kesihatan global di Jabatan Negara.
Dua lagi adalah bekas pengurus besar firma modal teroka Andreessen Horowitz, Scott Kupor yang kini mengetuai Pejabat Pengurusan Personel AS, operasi sumber manusia terbesar kerajaan persekutuan serta bekas ketuanya, Marc Andreessen yang terus berpengaruh di Rumah Putih.
Tokoh lain pro-Musk dilaporkan turut berada di peringkat lebih rendah dalam kerajaan termasuk Edward Coristine.
Coristine dikatakan menerima kerja kerajaan biasa tetapi menjadi dalang mempengaruhi Trump untuk menghantar Pengawal Kebangsaan meronda jalan Washington selepas beliau dilaporkan diserang di bandar tersebut sebelum ini.
PERANAN KABUR
Perubahan besar dan huru-hara yang membelenggu pentadbiran persekutuan menjadikan takrif DOGE semakin kabur.
“Persoalannya, bagaimana anda mentakrifkan DOGE? Siapa DOGE? Soalan ini semakin rumit,” kata Pengarah Program Kerajaan Berkesan dan Telus di Project on Government Oversight, Faith Williams.
Secara rasmi, seorang veteran sektor teknologi kesihatan, Amy Gleeson kini mengetuai jabatan itu sebagai ketua pemangku, Namun pengaruhnya di Rumah Putih sangat terhad.
Laporan pekerja persekutuan menyebut misi DOGE pada hakikatnya dipindahkan kepada penentang tegar kerajaan, Russell Vought yang kini mengawal Pejabat Pengurusan dan Belanjawan.
Bagi Pengarah Eksekutif Electronic Frontier Foundation, Cindy Cohn, perkembangan ini amat membimbangkan kerana kerja-kerja DOGE kini dijalankan ‘di balik tabir’ tanpa pengawasan awam.
Operasi tersembunyi itu turut melibatkan tindakan cuai dan keputusan meragukan, menurut laporan pembocor maklumat serta pekerja yang meninggalkan kerajaan untuk mendedahkan salah laku operasi itu.
Sementara itu, kakitangan persekutuan terpaksa terus menavigasi landskap baru ini, berdepan kekurangan tenaga kerja dan jurang kepakaran, sedangkan baki DOGE masih bergerak di luar pandangan umum.- AFP











