BEIJING: Dua beradik di barat daya China maut selepas disengat ratusan ekor tebuan dalam insiden tragis di sebuah kampung daerah Muding, wilayah Yunnan.
Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan adik perempuannya berumur dua tahun, dilaporkan diserang ketika bermain di kawasan hutan pain berhampiran ladang jagung milik keluarga mereka.
Menurut portal The Paper, mangsa biasanya dijaga oleh datuk dan nenek kerana ibu bapa mereka bekerja sebagai buruh di wilayah Zhejiang.
Jeritan meminta tolong mangsa pertama kali didengari seorang penduduk kampung berdekatan yang turut disengat ketika cuba membantu.
Kanak-kanak perempuan itu ditemukan tidak sedarkan diri ketika ambulans tiba, manakala abangnya meninggal dunia ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Bapa mangsa, dikenali sebagai Yang, berkata kedua-dua anaknya disengat di seluruh badan, termasuk kepala, tangan, kaki, belakang dan perut.
“Tiada satu bahagian badan mereka pun yang selamat,” katanya kepada media.
Pemeriksaan forensik kemudian mengesahkan kanak-kanak lelaki itu disengat lebih 300 kali, manakala adiknya mengalami sehingga 700 sengatan.
Polis tempatan mengenal pasti tebuan yang menyerang mangsa sebagai vespa velutina nigrithorax atau tebuan berkaki kuning.
Pihak berkuasa menahan seorang petani yang dipercayai membela tebuan di kawasan berkenaan atas tuduhan membunuh secara cuai, namun dibebaskan atas jaminan polis.
Dia dilaporkan membayar pampasan sebanyak 40,000 yuan (RM23,541) kepada keluarga mangsa, dan mendakwa tidak pernah mengalami kejadian seumpama itu walaupun sudah membela serangga tersebut sejak dua tahun lalu.- AGENSI











