SUASANA keindahan alam sekitar Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut mengilhamkan seorang pelukis, Alizan Alias, 43, menghasilkan pelbagai jenis catan (lukisan) secara komersial.
Alizan yang berasal dari Kampung Pagi, Ulu Tembeling berdekatan pusat peranginan hutan tropika itu menghasilkan pelbagai seni catan yang bertemakan alam sekitar termasuk flora fauna, Sungai Tembeling, bukit-bukau dan jeram yang dipalit menerusi campuran warna-warni yang menarik.
“Saya memang berminat melukis sejak usia 12 tahun lagi apabila guru mengesan bakat saya dan mencanai kemahiran ini khususnya lakaran dan pemilihan tona warna sehinggalah mampu melukis dengan baik.
Saya memperoleh gred A mata pelajaran Lukisan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Pembabitan secara serius dalam bidang melukis selepas tamat peperiksaan SPM pada 2000, kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari ilmu dan pengalaman bersama pelukis jalanan di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pelukis berbakat besar itu pernah mengadakan pameran tahunan dan jualan lukisannya sempena program pelancongan di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, Teluk Cempedak, Kuantan dan terkini baharu sahaja selesai mengadakan aktiviti yang sama di Galeri Nu Empire, Subang Jaya dan Amcorp Mall, Petaling Jaya.
Menurut Alizan, sembilan tahun berkelana di Kuala Lumpur, dia kembali semula ke Taman Negara Kuala Tahan dan Kampung Pagi untuk melukis secara serius setelah mendapati karya bertemakan alam sekitar, flora dan fauna, sungai, bukit-bukau, ikan liar dan jeram mendapat permintaan tinggi daripada warga kota dan pelancong Barat.
Katanya, kali pertama pembabitan dalam seni lukis, apabila dia diberi kepercayaan oleh pihak pentadbir sekolah rendah di kampung kelahirannya untuk melukis mural dinding bertemakan alam sekitar.
“Saya berjaya menyiapkan mural bertemakan pemandangan Kampung Pagi dan Sungai Tembeling dalam tempoh dua minggu sahaja,” katanya.
“Fokus utama tema lukisan ini berasaskan senario kedamaian perkampungan Melayu pesisir Sungai Tembeling dan keindahan anak Sungai Pengau, Sungai Bubut dan Air Terjun Pengau di Kampung Pagi yang kini sudah mula tercemar akibat pembalakan,” katanya.
Tambah Alizan, dia pernah terlibat dengan pameran bersama pelukis terkenal tanah air di Shah Alam dengan menampilkan karya bertajuk ‘Sungai Tahan’, ‘Taman Negara Pahang’,’Sungai Keniam’, dan ‘Jeram Perahu Sungai Tembeling’.
Katanya, dia juga mengadakan pameran lukisan kepada pengunjung sempena program Taman Negara Bird Count setiap tahun di Kuala Tahan dan juga mengadakan pameran yang sama sambil melukis potret pengunjung di pantai Telok Cempedak, Kuantan, setiap hujung minggu.
Kemahiran melukis secara kontemporari menggunakan pelbagai warna air dan poster juga diperoleh menerusi tunjuk ajar seorang pensyarah bidang Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UITM),
Shah Alam yang kerap mengunjungi perkampungan di Ulu Tembeling sebelum ini.
“Saya sudah menyiapkan catan bertajuk ‘Perahu Sungai Tembeling’, ‘Lubuk Sungai Tembeling’ dan ‘Jeram Perahu’ serta beberapa hasil seni berasaskan tema sungai dan hutan.
“Setiap buah lukisan termasuk potret akan dijual dengan harga antara RM500 hingga RM10,000 kepada peminat lukisan bertemakan alam sekitar termasuk pelancong yang singgah di Taman Negara Kuala Tahan,’’ katanya.
Katanya, peristiwa menarik yang tidak dapat dilupakan sepanjang kerjaya sebagai pelukis apabila hasil karyanya bertajuk ‘Jeram Perahu 2’ telah dibeli oleh salah seorang ahli keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika mengadakan pameran di Shah Alam, Selangor dengan menawarkan harga sebanyak RM8,000.-UTUSAN










