VIENNA: Vienna menganjurkan Kejohanan Dunia Pemandu Tram pertama dengan 25 pasukan dari pelbagai negara bersaing sengit dalam pertandingan tersebut.
Sejak awal pagi Sabtu, para penonton berkumpul di hadapan dewan bandar raya di ibu kota Austria itu untuk menyaksikan pasukan dari sejauh Rio de Janeiro, Hong Kong dan San Diego mempamerkan kemahiran memandu mereka.
“Kami meraikan ulang tahun ke-160 tram di Vienna yang sangat istimewa. Bagi meraikan sambutan ini, kami memutuskan untuk menganjurkan Kejohanan Dunia, bukannya sekadar di Eropah dan membawa pasukan dari enam benua ke kota ini,” kata penganjur kejohanan, Elias Natmessnig.
Pemandu tram berentap dalam lapan cabaran yang menguji keupayaan mereka mengendalikan kenderaan seberat 30 atau 42 tan itu dengan penuh ketepatan, termasuk membrek dan memecut dengan lancar.
Antara acara kegemaran penonton ialah bowling tram, yang menggunakan bola gergasi untuk menjatuhkan pin angin serta tram curling, di mana troli basikal perlu ditolak dengan tepat sehingga berhenti di satu titik yang ditetapkan.
Acara itu mendapat sambutan hangat dengan sekitar 50,000 penonton dari seluruh dunia hadir untuk menyaksikan pasukan kegemaran mereka dan memberi sorakan semangat.
Seorang pelancong, Richard Gerebenics, 33, yang meminati pengangkutan awam itu mengakui sanggup datang dari Budapest semata-mata untuk menonton kejohanan dunia tersebut selepas terbaca mengenainya di internet.
Dalam kejohanan itu, pasukan Vienna berjaya muncul juara sementara Poland menduduki tempat kedua dan Norway di tempat ketiga.
Kemenangan di tanah air sendiri membuatkan peserta Vienna, Florijan Isaku, berasa terharu dan bangga.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkannya. Ia benar-benar hebat dan pengendali pengangkutan awam Vienna, Wiener Linien ibarat sebuah keluarga, dan inilah buktinya,” katanya.-AFP









