PETALING JAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pendakwaan bebas perlu ditubuhkan dan diasingkan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan bagi memastikan Pendakwa Raya menjadi entiti khusus tanpa terikat dengan Jabatan Peguam Negara atau badan kehakiman.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, langkah itu penting bagi memastikan struktur pentadbiran keadilan benar-benar bebas daripada sebarang pengaruh eksekutif, politik atau campur tangan luar selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan pengasingan kuasa.
Katanya, langkah tersebut yang dibuat dengan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan akan memberi kebebasan kepada Pendakwa Raya tanpa perlu bertanggungjawab (not reporting) kepada kerajaan dan jemaah Menteri.
“Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan mempunyai taraf dan status perjawatan yang sama taraf. Cuma Peguam Negara bertanggungjawab kepada kerajaan iaitu Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
“Pendakwa Raya pula berperanan mengikut kuasa-kuasanya yang khas dengan mekanisme kawalan atau imbang kuasa yang boleh difikirkan nanti supaya terdapat mekanisma yang perlu diikuti oleh Pendakwa Raya dalam menjalankan peranan dan kuasanya,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, jawatan Pendakwa Raya perlu diwujudkan secara khusus dan dilindungi Perlembagaan bagi memastikan proses pendakwaan benar-benar bebas daripada pengaruh politik.
Katanya, cadangan itu penting kerana pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya hanya berkesan sekiranya individu dilantik mempunyai kewibawaan tinggi serta dilindungi undang-undang daripada tekanan politik.
Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan pengasingan kuasa penuh membabitkan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Yaacob, jawatan Pendakwa Raya juga perlu setaraf Peguam Negara yang tidak mempunyai had umur persaraan wajib.
Dalam pada itu, Yaacob berkata, dengan pengasingan kuasa itu bermakna Peguam Negara tidak mempunyai kuasa lagi untuk mencampuri urusan kes siasatan dan kes jenayah termasuk siasatan rasuah serta salah guna kuasa.
“Kuasa atas perkara ini akan terletak sepenuhnya atas Pendakwa Raya. Dengan itu Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan wujud sebagai dua entiti yang berasingan dan berbeza.
“Malah, dengan pengasingan kuasa itu maka Peguam Negara tidak lagi menjadi ketua perkhidmatan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya. – MINGGUAN










