Parti politik perlu kemuka pandangan RUU asing peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya

Parti politik perlu kemuka pandangan RUU asing peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya

AZALINA Othman Said selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas kali ketiga di Parlimen hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wakil parti politik dalam Jawatankuasa Pilihan Khas bagi pindaan Rang Undang-Undang (RUU) pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu mengemukakan pandangan berhubung pindaan tersebut. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu penting bagi memastikan satu pendekatan yang seimbang dapat dicapai sebelum usul berkenaan dibawa ke Parlimen pada Jun ini.

Beliau berkata,  semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta Ahli Parlimen bersetuju bahawa matlamat utama pindaan RUU adalah untuk mendapatkan penyelesaian terbaik demi kepentingan negara.

Tambah beliau, antara perkara utama yang menjadi fokus adalah isu pelantikan, penamatan dan akauntabiliti kepada Parlimen.

“Mereka telah membentangkan pandangan masing-masing dan selepas ini mesyuarat seterusnya, iaitu mesyuarat keempat akan diadakan pada 27 April. 

“Sebelum mesyuarat tersebut, kita akan mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dari sudut undang-undang terhadap semua cadangan yang dikemukakan oleh CSO dan NGO.

“Selain itu, saya juga telah mengarahkan wakil-wakil parti dalam jawatankuasa ini untuk mengemukakan pendirian secara bertulis mengenai kedudukan parti masing-masing terhadap perkara-perkara yang dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas kali ketiga di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, semua perkara akan diperjelaskan secara menyeluruh pada mesyuarat yang keempat pada 27 April nanti.

“Saya berharap jawatankuasa ini dapat mencari jalan tengah supaya apabila usul ini dibawa ke Parlimen pada bulan Jun, kita dapat memperoleh sokongan dua pertiga bagi meluluskan pindaan Perlembagaan.

“Itulah sebabnya, dalam apa jua keadaan, parti politik mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk mengemukakan pandangan masing-masing, khususnya daripada segi undang-undang,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN