PETALING JAYA: Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin menyifatkan pertukarannya bukan penurunan pangkat sebaliknya sebahagian daripada proses biasa dalam perkhidmatan awam.
Wan Shaharuddin berkata, pangkatnya kekal sama, cuma penugasan atau jawatan berubah.
“Ini adalah proses biasa untuk pengembangan kerjaya dan pengalaman baharu,” katanya dalam temu bual bersama MACCfm di Putrajaya, semalam.
Wan Shaharuddin kini memasuki tahun ke-31 dalam perkhidmatan awam dan tahun ke-26 sebagai Pendakwa Raya.
Pengalaman hampir tujuh tahun di SPRM memberinya cabaran baharu dalam mendalami undang-undang berkaitan rasuah.
“Pendakwaan yang berkualiti memerlukan siasatan lengkap, yang hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat antara pegawai penyiasat, pegawai pendakwa dan kakitangan sokongan di seluruh negara,” jelasnya.
Sebelum menyertai SPRM, beliau banyak mengendalikan kes jenayah umum termasuk kes bunuh dan beberapa kes berprofil tinggi yang membentuk asas kukuh dalam kerjayanya sebagai pendakwa.
“Pertukaran ini sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan pegawai perkhidmatan awam mempunyai pengalaman serba boleh.
“Selain mampu menghadapi pelbagai cabaran dalam bidang undang-undang dan pendakwaan,” katanya
Kelmarin, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan pertukaran Wan Shaharuddin berkuat kuasa pada 2 Mac tidak akan menjejaskan kes dikendalikannya di SPRM.
Wan Shaharuddin masih berupaya meneruskan tanggungjawab terhadap kes berkepentingan di samping diberi peluang mengendalikan kes rayuan pada peringkat mahkamah yang lebih tinggi. – UTUSAN










