RUU asing kuasa AG, DPP akan dibentang 22 Jun

RUU asing kuasa AG, DPP akan dibentang 22 Jun

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berkaitan peng­asingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka dibentangkan pada Sidang Dewan Rakyat pada 22 Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan itu bakal menjadi reformasi institusi bersejarah apabila peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dipisahkan secara rasmi buat pertama kali sejak negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, Mesyuarat Jawatan­kuasa Pilihan Khas (PSSC) yang dipengerusikannya mengenai pindaan tersebut sebulat suara bersetuju mengenai usaha kerajaan untuk mengasingkan peranan kedua-dua kuasa eksekutif tersebut.

“Ini satu sejarah kepada negara kita apabila institusi Peguam Negara yang wujud sejak merdeka akhirnya melalui pro­ses pengasingan antara peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian sele­pas mempengerusikan Mesyua­rat Jawatankuasa Pilihan Khas Pengasingan Peranan Peguam Ne­gara dan Pendakwa Raya ke­enam di Parlimen, semalam.

Menurut Azalina, pada tarikh itu, pihaknya terlebih dahulu akan membentangkan penyata mesyuarat dan penerangan berhubung proses serta perkembangan pindaan RUU tersebut sebelum bacaan pertama dan seterusnya.

Mengulas mengenai tahap per­setujuan yang dicapai, Aza­lina berkata, mekanisme dicadangkan adalah hasil kompromi terbaik antara cabang eksekutif dan legislatif serta telah mendapat persetujuan semua parti yang terbabit.

“Ia telah dipersetujui oleh semua parti. Saya telah meminta wakil pembangkang memberikan sokongan kepada kerajaan bagi RUU ini memandangkan pindaan berkenaan akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kami ingin memaklumkan kepada masyarakat bahawa ini adalah satu reformasi yang memberi tumpuan kepada pen­strukturan semula peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya (AG-PP) menerusi pengasingan fungsi kedua-dua institusi itu dalam negara kita.

“Jadi, saya harap perubahan yang berlaku akan menjadi pe­rancangan baru untuk negara kita pada tahun yang akan datang,” katanya.

Tambahnya, semua wakil da­lam Jawatankuasa Pilihan Khas yang mewakili parti ma­sing-masing telah diminta memak­lumkan kepada ahli parti mereka di Dewan Rakyat supaya memberi sokongan terhadap pin­daan berkenaan.

“Inilah hasil persetujuan yang dicapai menerusi mesyua­rat yang berlangsung dan merupakan antara formula terbaik dalam pembentukan pindaan perlembagaan bagi pengasingan peranan AG-PP di negara ini.

“Saya berharap apa juga ke­putusan kepimpinan parti dapat dibuat selepas persidangan Parlimen dan selepas pindaan perlembagaan berkaitan AG-PP ini diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Azalina berkata, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan gunakan saluran perantaraan yang sudah termaktub dalam perjanjian kerjasama dibentuk mereka sebelum ini untuk selesaikan sebarang perbezaan pendapat, jika wujud.

Beliau yang juga Ketua Pene­rangan UMNO berkata, penggunaan saluran itu lebih wajar bagi mengelak sebarang pertikaian yang wujud berpanjangan sehingga mengganggu tumpuan serta tugas untuk membantu rakyat dan mengurus negara.

“Kita ada klausa mediasi dalam perjanjian (kerjasama) antara PH dengan BN. Saya rasa (Pengarah Komunikasi PH) Datuk Fahmi (Fadzil) ada sebut semalam mengenai klausa (perantaraan) itu.

“Pada saya, mana-mana pi­hak, kalau tak puas hati, patut pakai klausa itu. Itu yang (di­nyatakan dalam) perjanjian (untuk) kita masuk bersama (jadi kerajaan),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN