BRASILIA: Seorang hakim Mahkamah Agung Brazil pada Sabtu telah menggantung pelaksanaan undang-undang yang mengurangkan hukuman penjara bekas presiden berhaluan kanan, Jair Bolsonaro.
Keputusan ini dibuat sehingga cabaran undang-undang terhadap perlembagaan undang-undang tersebut didengar sepenuhnya oleh mahkamah.
Hakim Alexandre de Moraes mengarahkan penangguhan tersebut selepas menerima petisyen daripada parti-parti berhaluan kiri yang mempersoalkan keabsahan undang-undang berkenaan.
Pada September tahun lalu, Bolsonaro telah dijatuhi hukuman penjara selama 27 tahun selepas didapati bersalah berkomplot untuk kekal berkuasa walaupun kalah dalam pilihan raya 2022 kepada Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.
Undang-undang tersebut asalnya diluluskan oleh Kongres Brazil yang dikuasai oleh majoriti konservatif pada Disember tahun lalu. Namun, ia telah disekat oleh Presiden Lula pada bulan berikutnya.
Ahli parlimen yang merupakan sekutu Bolsonaro kemudian membatalkan veto presiden pada akhir April dan langkah tersebut akhirnya digazetkan pada Jumaat.
Peraturan baharu ini bertujuan mengurangkan tempoh menunggu bagi pengurangan hukuman yang secara signifikan boleh memendekkan tempoh penjara bagi mereka yang disabitkan dengan kesalahan cubaan merampas kuasa.
Selain Bolsonaro, undang-undang ini juga bertujuan memberi manfaat kepada individu yang terlibat dalam rusuhan di Brasilia pada 8 Januari 2023.
Buat masa ini, Bolsonaro yang berusia 71 tahun sedang menjalani hukumannya tahanan rumah atas faktor kesihatan.
Bolsonaro telah dilarang daripada bertanding semula dan kini menamakan anak sulungnya, Flavio Bolsonaro sebagai pengganti politik untuk menentang Lula dalam pilihan raya Oktober ini.
Flavio, seorang senator berusia 45 tahun, berjanji untuk ‘menguburkan’ kerjaya politik Lula. – AFP











