Simpanan peluru berpandu, dron Iran mencukupi - Utusan Malaysia

Simpanan peluru berpandu, dron Iran mencukupi

SIMPANAN peluru berpandu Iran masih mencukupi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Simpanan peluru berpandu dan dron Iran adalah mencukupi untuk menampung perang selama bertahun-tahun, kata seorang ahli parlimen kanan negara itu dalam satu temu bual dengan agensi berita separa rasmi Tasnim News Agency.

Timbalan Ketua Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Alaeddin Boroujerdi berkata pada Rabu bahawa Teheran masih belum mendedahkan sepenuhnya keupayaan ketenteraannya.

“Kami masih belum menunjukkan (keupayaan) baharu kami,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita separa rasmi itu.

Boroujerdi menolak sekatan laut Amerika Syarikat (AS), menyifatkannya sebagai tidak berkesan dan mendakwa kira-kira 120 kapal sedang menunggu berhampiran Selat Hormuz untuk transit.

Beliau menambah bahawa banyak kapal Iran masih terus beroperasi tanpa campur tangan pasukan AS.

Merujuk kepada dinamik serantau, beliau berkata, Selat Bab al-Mandeb yang menghubungkan Laut Merah ke Teluk Aden, adalah sama penting seperti Selat Hormuz.

Boroujerdi menambah bahawa perkembangan di kawasan itu juga boleh menjejaskan laluan maritim.

Beliau  juga berkata, Iran tidak akan berundur daripada apa yang disifatkannya sebagai hak kedaulatan ke atas Selat Hormuz dan perkara itu akan terus dibincangkan dalam rundingan.

Secara berasingan, Hamad Akbarzadeh, pembantu politik kepada komander Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Republik Islam (IRGC) Iran berkata, pasukan laut akan menggunakan keupayaan baharu jika berlaku sebarang tindakan ketenteraan ASt terhadap negara itu.

Bercakap dalam satu perhimpunan awam di bandar selatan Minab pada Selasa, beliau memberi amaran bahawa jika AS mengambil tindakan ketenteraan, Tentera Laut IRGC akan menggunakan apa yang disifatkannya sebagai sistem sasaran canggih dan keupayaan operasi baharu.

Beliau berkata, keupayaan tersebut boleh digunakan terhadap kapal-kapal perang besar di rantau itu.

AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Februari, yang mendorong Teheran bertindak balas dengan serangan ke atas apa yang disifatkannya sebagai kepentingan Amerika di seluruh rantau, kebanyakannya di negara-negara Teluk.

Gencatan senjata diumumkan pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, diikuti rundingan di Islamabad pada 11 hingga 12 April, namun perundingan itu berakhir tanpa sebarang persetujuan.

Presiden AS, Donald Trump kemudian berkata bahawa gencatan senjata itu telah dilanjutkan atas permintaan Pakistan sementara menunggu cadangan daripada Teheran. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN