Perlembagaan Pejuang hanya 60 muka surat - Utusan Malaysia

Perlembagaan Pejuang hanya 60 muka surat

MARZUKI YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perlembagaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hanya mempunyai 60 muka surat dan sewajarnya sudah boleh diluluskan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Penaja Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, pihaknya berasa hairan kerana keputusan terletak di bawah kuasa menteri dan alasan yang diterima mengatakan bahawa menteri terlalu sibuk untuk meneliti satu persatu perlembagaan parti itu.

Katanya, walhal perlembagaan Pejuang hanya mempunyai sebanyak 60 muka surat yang menyebabkan alasan itu tidak munasabah untuk diterima.

“Perlembagaan kita hanya 60 muka surat. Kalau satu hari satu muka surat pun saya rasa sudah boleh habis tetapi sampai hari ini belum ada jawapan. Walhal kita telah menghantar rayuan sudah lebih tiga bulan namun belum ada jawapan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Saya sendiri juga tidak faham kerana pengalaman saya sebagai setiausaha agung dan berurusan dengan ROS, saya dapati pertubuhan itu memberi kerjasama yang baik walaupun permohonan awal kita ditolak.

“Kita juga telah membuat rayuan mengikut apa yang telah disarankan dan tidak ada lagi perkara yang tidak boleh atau yang dikatakan tiada alasan lagi untuk meluluskannya” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, Pejuang masih menunggu keputusan mahkamah pada 31 Mei ini bagi permohonan perintah mandamus iaitu perintah mahkamah yang mengarahkan menteri dalam negeri membuat keputusan terhadap rayuan yang ditolak oleh ROS sebelum ini.

Menurut Marzuki, sebagai sebuah negara demokrasi, sepatutnya kerajaan tidak perlu menahan permohonan partinya kerana sesiapa juga berhak jika mempunyai matlamat tertentu mengikut aturan dan atur cara yang betul.

“Saya rasa tidak ada masalah, tetapi mungkin bagi mereka dengan meluluskan Pejuang akan menggugat kedudukan mereka. Itu lebih kepada politik dan saya berasakan bahawa setiap menteri tidak seharusnya campur tangan soal urusan pendaftaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×