PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan lesen penerokaan mineral seluas 70,000 hektar di Sabah membabitkan ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador selesai dan ditutup.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan untuk menutup siasatan terbabit dibuat susulan Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak.
“Siasatan kita jalankan dengan memanggil semua yang terbabit dan kita juga merekod kenyataan daripada Sabah Mineral Management, kerajaan negeri, siapa-siapa yang dikatakan terbabit.
“Akhirnya, Timbalan Pendakwa Raya sudah membuat keputusan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak sama ada di bawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan dan tiada isu tadbir urus, maka kes ini ditutup,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Azam berkata, tiada permohonan tanah yang dikemukakan sebaliknya ia adalah permohonan untuk meneroka mineral kepada syarikat dikenali Sabah Mineral Management.
“Ini bukan kelulusan Kerajaan Negeri dan EXCO Sabah dan ini penting untuk difahami.
“Apa yang berlaku dalam kes ini ialah Sabah Mineral Management telah membenarkan penerokaan mineral dibuat secara bersyarat pada Mac 2023 dan syarikat terbabit perlu mengemukakan dokumen tertentu,” jelasnya.
Kata Azam, oleh kerana syarikat berkenaan tidak menepati atau tidak melaksanakan mengenai ‘submission’ (mengemukakan) dokumen-dokumen yang diperlukan, maka pada tarikh iaitu 21 Mac lalu, permohonan ini dibatalkan.
“Jadi sebenarnya tidak ada apa-apa penerokaan yang dijalankan kerana tidak membekalkan dokumen-dokumen berkenaan.
“Sebenarnya ini bukan satu permohonan tanah, yang ada adalah permohonan untuk penerokaan mineral kepada Sabah Mineral Management, yang mana ini bukan urusan kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN










