Mengintai pesona rafflesia di hutan Ulu Cheka

Mengintai pesona rafflesia di hutan Ulu Cheka

Sebahagian pengunjung bergambar kenangan bersama bunga Rafflesia ketika melawat Hutan Simpan Sungai Rengat, Ulu Cheka, Jerantut. – utusan/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUNGA pakma atau nama saintifiknya, rafflesia banyak tumbuh meliar di hutan Sungai Rengat, Ulu Cheka dekat sini menarik perhatian ramai pengunjung dari Lembah Klang, seluruh Semenanjung dan negara jiran, Singapura.

Bunga pakma dikatakan yang terbesar di dunia cuma terdapat di empat lokasi di Pahang iaitu Taman Eko Rimba di Raub, Jerantut, Lipis dan Pulau Tioman, manakala ada juga ditemui di negeri Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Perak dikenali sebagai spesies rafflesia cantleyi.

Pemandu Pelancong Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Rahmat Swarno, 32, berkata, bunga Rafflesia sejenis tumbuhan unik kerana terdapat bahagian bunga sahaja dan berbentuk seperti hifa kulat dan hidup dalam tisu perumah.

“Tidak mempunyai batang, akar dan daun hijau berklorofil. Tempoh pembesaran bunga daripada tunas hingga berkembang mengambil masa lebih kurang sembilan hingga 12 bulan berdasarkan spesies yang berbeza.

“Di hutan ini, bunga pakma ditemui bersaiz antara 25 hingga 50 sentimeter, cuma berkembang mekar dalam tempoh seminggu dan selepas itu akan layu dan mati,” katanya.

Kata Rahmat, ketika lawatan pengunjung di lokasi tersebut cuma terdapat dua kuntum rafflesia yang sedang berkembang mekar, iaitu mengandungi kira-kira 30 kudup yang hayatnya dijangka antara dua hingga enam bulan lagi.

Dia berkata, bunga pakma akan berbunga sekali dalam setahun atau dianggarkan tempoh sembilan bulan sahaja menyebabkan terkenal antara spesies flora yang sukar ditemui.

Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Rosmaria Zainudin, 58, berkata, dia mengetahui bunga pakma ini tumbuh mekar di hutan Sungai Rengat dalam bulan ini menerusi maklumat diperoleh daripada pemandu pelancong Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Saya dan rakan ke Ulu Cheka, Jerantut dan kemudiannya menaiki kenderaan pacuan empat roda selama 20 minit untuk tiba di hutan Sungai Rengat dan kemudiannya berjalan kaki kira-kira 30 minit untuk menemui bunga pakma yang ketika itu berkembang mekar.

“Teruja sangat dapat melihat bunga ini dalam jarak yang dekat sambil merakamkan gambar sebagai kenangan dan belum tentu boleh dlihat lagi masa akan datang. Inilah pertama kali dapat melihat bunga pakma yang berwarna garang merah kecoklatan,” katanya.

Katanya, perasaannya semakin teruja apabila pengunjung tidak dibenarkan menyentuh bunga itu kerana ia bersifat ‘pemalu dan sensitif’.

Menurut pemandu pelancong, bunga berkenaan berkemungkinan tidak jadi kembang dan mula mereput sekiranya disentuh.

Menurut Rosmaria, dia bercadang berkunjung semula ke hutan itu tahun depan untuk melihat lagi Rafflesia mekar.

Pengunjung dari Taman Melawati, Ulu Klang, Adrian Lee, 54, berkata, kehadirannya semata-mata untuk melihat bunga pakma setelah mengetahui menerusi saluran Tiktok dan kemudiannya menghubungi Rahmat

untuk menyertai eksplorasi di hutan tersebut menjejak Rafflesia.

“Rasa penat ketika menaiki kenderaan pacuan empat roda dan berjalan kaki meredah hutan serta mendaki bukit mula lenyap apabila terpandang bunga pakma berkembang mekar.

“Tidak terungkap dengan kata, hanya mata saya dan rakan tertancap bunga yang mekar menjadi penyeri hutan ini,” katanya.

Pencinta tumbuhan liar Taman Negara, Sabri Abdullah, 56, berkata, bunga pakma memang sinonim tumbuh di hutan Sungai Rengat yang mengambil masa selama sembilan bulan untuk mekar.

“Kita boleh melihat sahaja, tetapi tidak boleh menyentuh kerana bunga ini sangat sensitif dan akan menguncup, kemudian mati.

“Selain itu, bunga ini akan mengeluarkan bau busuk untuk memikat serangga bagi penyebaran floranya,” katanya.

Hanya pengunjung yang bertuah berpeluang menyaksikan keindahan Rafflesia di Mukim Ulu Cheka.

Daerah itu juga dikenali sebagai Rafflesia Trail dan antara lokasi terlindung di bawah pemeliharaan Jabatan Perhutanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×