Pencalonan Muhyiddin isyarat kesatuan dalaman Bersatu

Pencalonan Muhyiddin isyarat kesatuan dalaman Bersatu

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggambarkan beberapa isyarat penting khususnya dalam memperlihatkan kesatuan dalaman parti itu serta strategi Perikatan Nasional (PN).

Presiden Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy berkata, walaupun timbul spekulasi mengenai sokongan terhadap Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, namun Bersatu kekal teguh bersama presiden mereka.

“Pencalonan ini menunjukkan Bersatu lebih mementingkan kesatuan daripada perpecahan. Walaupun ada bisikan mengenai Hamzah, parti tetap teguh bersama Muhyiddin.

“Sikap Pas yang beralah juga menonjolkan kestabilan dalaman PN iaitu satu gabungan yang sanggup mengutamakan strategi daripada ego,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Ramasamy, pencalonan Muhyiddin turut memfokuskan isu pendakwaan terpilih di Malaysia apabila tuduhan rasuah lebih banyak digunakan untuk melemahkan lawan politik berbanding menegakkan keadilan.

Beliau berkata, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru-baru ini jelas membuktikan sokongan padu terhadap Muhyiddin apabila perwakilan sebulat suara meluluskan usul memperkukuh kepimpinannya dan menamakan beliau sebagai calon perdana menteri.

“Bagi Bersatu, menamakan Muhyiddin sebagai calon adalah langkah logik dan strategik. Kerjayanya yang panjang sebagai menteri Persekutuan dan kemudiannya perdana menteri memberinya kredibiliti sebagai calon paling berpengalaman untuk menerajui negara.

“Walaupun terdapat tuduhan rasuah, Muhyiddin masih belum disabitkan. Daripada segi undang-undang, beliau kekal tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya.

Ramasamy berkata, sejarah politik negara juga membuktikan seseorang pemimpin masih berpeluang kembali ke pentas kepimpinan meskipun pernah berdepan cabaran undang-undang sebagaimana dialami Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Setakat ini, Muhyiddin adalah pilihan mutlak Bersatu untuk menjadi Perdana Menteri ke-11 Malaysia. Pengalaman, ketahanan dan keupayaannya menyatukan parti menjadikannya calon yang ampuh.

“Sama ada rakyat Malaysia akan menerimanya atau tidak, memandangkan cabaran undang-undang yang sedang dihadapinya, masih menjadi persoalan,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, PAT Bersatu meluluskan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari Bersatu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PAT Bersatu kali ke-9 turut menyokong sepenuhnya kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Presiden Bersatu. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×