Russia bedil Ukraine selama 11 jam guna lebih 800 dron - Utusan Malaysia

Russia bedil Ukraine selama 11 jam guna lebih 800 dron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Russia melancarkan serangan udara terbesar sejak perang Ukraine bermula dengan menghujani negara itu menggunakan lebih 800 dron, empat peluru berpandu balistik dan sembilan peluru berpandu kruis pada awal pagi semalam.

Serangan berterusan hampir 11 jam itu menyaksikan beberapa bangunan kerajaan di Kyiv buat pertama kali menjadi sasaran, manakala sebuah apartmen musnah menyebabkan seorang bayi dan ibunya terbunuh.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, sekurang-kurangnya empat orang maut dan 44 lagi cedera di seluruh negara ekoran serangan berkenaan.

Menurut Tentera Udara Ukraine, kebanyakan dron dan peluru berpandu dipintas pertahanan udara, namun 54 dron serta sembilan peluru berpandu menembusi sasaran sekaligus mengatasi serangan Julai lalu yang sebelum ini dianggap terbesar sepanjang konflik sejak Februari 2022.

Perdana Menteri Ukraine, Yulia Svyrydenko menyifatkan ia sebagai serangan besar-besaran yang bukan sahaja menggegarkan Kyiv, malah turut mengenai bandar Kryvyi Rih, Dnipro, Kremenchuk dan Odesa.

“Buat pertama kali, bangunan kerajaan termasuk pejabat Perdana Menteri dan beberapa kementerian mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan tingkat atas. Pasukan penyelamat sedang memadamkan kebakaran. Kita boleh membina semula bangunan, tetapi nyawa yang terkorban tidak mungkin dikembalikan,” katanya.

Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko mengesahkan seorang bayi berusia bawah setahun ditemui maut di bawah runtuhan di daerah Sviatoshynskyi, manakala ibu kanak-kanak itu turut terkorban.

Sebuah bangunan apartmen sembilan tingkat di kawasan itu dilaporkan sebahagiannya musnah dengan empat tingkat runtuh, selain kebakaran tercetus di beberapa blok lain dan sekurang-kurangnya 18 orang dilaporkan cedera di ibu negara sahaja.

Dalam kenyataannya, Zelensky mengecam tindakan Moscow sebagai kejam dan jenayah yang melanjutkan perang, sambil menegaskan dunia mempunyai kuasa untuk menghentikan Kremlin jika wujud kehendak politik sebenar.

Serangan terbaharu itu turut mengundang kecaman antarabangsa di mana Presiden Perancis, Emmanuel Macron menegaskan Russia semakin terjerumus ke dalam logik perang dan keganasan, manakala Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menuduh Kremlin mempersendakan diplomasi, mencabuli undang-undang antarabangsa dan membunuh secara sewenang-wenangnya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×