Russia lancar serangan udara terbesar, bedil pusat pentadbiran Ukraine

Russia lancar serangan udara terbesar, bedil pusat pentadbiran Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Russia melancarkan serangan udara terbesar sepanjang peperangan terhadap Ukraine awal pagi Ahad, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan menyebabkan bangunan pusat pentadbiran kerajaan Ukraine di Kyiv terbakar, menurut pihak berkuasa.

Seorang wartawan AFP menyaksikan bumbung bangunan Kabinet Menteri Ukraine dijilat api dengan asap tebal menyelubungi ibu negara.

Menurut perkhidmatan kecemasan, serangan lebih 805 dron dan 13 peluru berpandu turut merosakkan beberapa bangunan tinggi di Kyiv.

Memuatkan artikel berkaitan…

Russia tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menghentikan pencerobohannya yang sudah berlarutan tiga setengah tahun itu, sambil terus mengenakan tuntutan keras bagi mengakhiri perang meskipun Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha menjadi orang tengah untuk mencapai perjanjian damai.

Serangan ini berlaku beberapa hari selepas beberapa negara Eropah, diketuai Perancis dan Britain, berikrar untuk menghantar pasukan penjamin keselamatan ke Ukraine bagi memantau pelaksanaan perjanjian damai antara kedua-dua pihak, satu cadangan yang ditolak mentah-mentah oleh Moscow.

Serangan ke atas bangunan Kabinet Menteri Ukraine, sebuah kompleks kerajaan utama di tengah-tengah Kyiv, merupakan yang pertama seumpamanya sejak perang bermula.

Seorang wartawan AFP melihat helikopter menjatuhkan apa yang dipercayai baldi berisi air di bumbung bangunan tersebut ketika pasukan penyelamat bergegas memadamkan kebakaran.

Polis menutup kawasan sekitar bangunan itu.

“Bumbung dan tingkat atas rosak akibat serangan musuh. Pasukan penyelamat sedang memadamkan kebakaran.

“Kita akan membina semula bangunan-bangunan ini. Tetapi kita tidak dapat mengembalikan nyawa yang terkorban. Musuh terus mengganas dan membunuh rakyat kita setiap hari di seluruh negara,” kata Perdana Menteri, Yulia Svyrydenko di Telegram.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, pasukan penyelamat sedang beroperasi di seluruh negara.

“Pembunuhan seperti ini, ketika usaha diplomasi sebenar sepatutnya sudah lama bermula, adalah jenayah yang disengajakan dan hanya memanjangkan perang,” katanya di Facebook.

Wartawan melaporkan mendengar letupan di seluruh ibu negara awal pagi Ahad.

Serangan ke atas bangunan kediaman sembilan tingkat di barat Kyiv meragut nyawa sekurang-kurangnya dua orang , seorang ibu dan bayinya yang berusia dua bulan sementara lebih 12 lagi cedera di Kyiv, menurut polis.

Serangan bom berpandu berasingan di wilayah selatan Zaporizhzhia pula mengorbankan sepasang suami isteri, kata gabenor wilayah, Ivan Fedorov.

Kyiv berkata, jaminan keselamatan yang disokong oleh kehadiran tentera Barat adalah penting bagi memastikan Russia tidak menyerang lagi pada masa hadapan.

Namun Presiden Russia, Vladimir Putin menegaskan kehadiran mana-mana pasukan Barat di Ukraine tidak boleh diterima dan akan menjadi sasaran tenteranya yang sah.

Usaha Presiden AS, Donald Trump dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk menamatkan perang masih menunjukkan kemajuan yang perlahan.

Russia yang menafikan menyasarkan orang awam di Ukraine, kini menguasai sekitar 20 peratus wilayah negara itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN