WASHINGTON: Ahli keluarga Robert F. Kennedy Jr. menggesa beliau meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Kesihatan, susulan perbicaraan Senat yang menimbulkan perbalahan minggu lalu.
Kakaknya, Kerry Kennedy, serta anak saudara, Joseph P. Kennedy III, mengeluarkan kenyataan tegas pada Jumaat mendesak beliau berundur sebagai ketua Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS).
Gesaan itu dibuat sehari selepas Kennedy mempertahankan tindakannya menarik balik sebahagian cadangan vaksin Covid-19 dan memecat pegawai kanan di Pusat Kawalan Penyakit (CDC) dalam sesi pendengaran Senat selama tiga jam.
“Robert F. Kennedy Jr. adalah ancaman kepada kesihatan dan kesejahteraan setiap rakyat Amerika.
“Tiada seorang pun daripada kita yang akan terlepas daripada kesakitan ditimbulkannya,” kata Joseph dalam hantaran di X.
Kerry pula menegaskan, keputusan perubatan sepatutnya dibuat oleh profesional bertauliah, bukan kepemimpinan yang tidak cekap.
Ini bukan kali pertama Kennedy berdepan penentangan daripada keluarganya sendiri.
Sebelum ini, beberapa saudaranya membantah pencalonan sebagai presiden, termasuk pada awal tahun menggesa senator menolak pelantikannya sebagai Setiausaha Kesihatan berikutan pandangannya mengenai vaksin.
Kennedy, yang sekian lama dikenali sebagai pemimpin gerakan antivaksin, menghabiskan tujuh bulan melaksanakan ideologi yang dahulunya bersifat kecil dan akar umbi ke peringkat tertinggi sistem kesihatan awam Amerika Syarikat (AS).
Perubahan besar terhadap agensi yang dipertanggungjawabkan dengan dasar kesihatan awam dan penyelidikan saintifik itu mengakibatkan ribuan pekerja diberhentikan serta penyusunan semula garis panduan vaksin.
Langkah tersebut, sebahagiannya bercanggah dengan jaminan diberikan semasa sesi pengesahan jawatan, menimbulkan kebimbangan kumpulan perubatan dan pegawai di beberapa negeri pimpinan Demokrat, yang kini mengeluarkan garis panduan vaksin mereka sendiri.- AP











