TANGGAL 12 Rabiulawal saban tahun membawa kita merenung kelahiran Nabi Muhammad SAW, insan agung yang diutus sebagai rahmat untuk seluruh alam. Sambutan Maulidur Rasul memberi makna mendalam kepada umat Islam di Malaysia, khususnya dalam usaha membina sebuah negara yang aman, adil dan bersatu padu.
Malaysia yang kita cintai adalah tanah air berbilang kaum, agama dan budaya. Justeru, mesej Maulidur Rasul sangat bertepatan dengan misi nasional ke arah membina perpaduan dalam kepelbagaian.
Rasulullah bukan hanya pemimpin rohani tetapi juga negarawan unggul yang berjaya mengikat kelompok masyarakat berbeza menjadi sebuah ummah yang hidup harmoni.
PEDOMAN DARI PIAGAM MADINAH
SEJARAH membuktikan Nabi Muhammad memimpin Madinah dengan penuh keadilan.
Ketika itu, masyarakatnya terdiri daripada Muslim Muhajirin dan Ansar, Yahudi dari pelbagai kabilah, serta puak lain yang sering berselisih.
Rasulullah menggubal Piagam Madinah, dokumen penting yang menjamin keamanan, hak bersama dan tanggungjawab mempertahankan kota.
Piagam ini mengiktiraf kepelbagaian, namun mengikat semua dengan nilai sejagat seperti keadilan, tanggungjawab dan keamanan.
Prinsip yang ditunjukkan Rasulullah lebih 1,400 tahun lalu ini terus relevan kepada Malaysia yang majmuk hari ini.
PERPADUAN
Lebih enam dekad selepas merdeka, kita masih berdepan cabaran perpaduan. Sentimen perkauman masih bergema dalam wacana politik, isu pendidikan vernakular sering diperdebatkan, penggunaan bahasa kebangsaan ada kalanya dipandang ringan dan media sosial menjadi medan perbalahan antara kaum.
Kajian oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) menunjukkan interaksi antara etnik masih rendah, terutama dalam kalangan generasi muda yang lebih selesa berada dalam kelompok sendiri.
Jika fenomena ini dibiarkan, ia boleh melemahkan asas kebangsaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba meniupkan kebencian kaum dan agama.
Beliau menekankan perpaduan adalah asas kekuatan negara, tanpa itu pembangunan dan kemakmuran tidak akan bertahan. Ucapan ini seiring dengan semangat Maulidur Rasul: Perpaduan bukan pilihan, tetapi keperluan asas sebuah negara.
BINA MASYARAKAT BERSATU
Ada tiga prinsip utama daripada kepimpinan Rasulullah SAW yang relevan dengan Malaysia hari ini.
Keadilan tanpa pilih kasih Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang membinasakan orang sebelum kamu ialah apabila orang mulia mencuri mereka biarkan, tetapi apabila orang lemah mencuri mereka laksanakan hukuman ke atasnya. Demi Allah, jika Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan potong tangannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini jelas mengajar kita keadilan tidak mengenal darjat atau kaum. Malaysia juga mesti memastikan dasar ekonomi, pendidikan dan sosial benar-benar adil untuk semua rakyat.
Kepelbagaian sebagai rahmat Firman Allah SWT: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal.” (al-Hujurat: 13).
Ayat ini mengingatkan perbezaan bukan ancaman tetapi peluang untuk saling memahami. Malaysia perlu menjadikan kepelbagaian budaya sebagai kekuatan negara.
Musyawarah sebagai asas keputusan Rasulullah SAW sentiasa bermesyuarat dengan sahabat dalam perkara penting, bahkan ketika berdepan peperangan. Amalan syura ini mengajar kita bahawa mendengar pandangan semua pihak adalah kunci perpaduan. Dalam konteks Malaysia, dialog antara kaum dan agama mesti diperkuatkan.
MALAYSIA MADANI: MENYAMBUNG WARISAN RASULULLAH
Gagasan Malaysia Madani yang diketengahkan kerajaan menekankan nilai ihsan, hormat dan kesejahteraan. Nilai ini sangat dekat dengan roh Piagam Madinah. Ia mengingatkan kita sebuah negara hanya akan makmur apabila semua rakyatnya berasa dihargai dan dilindungi.
Namun gagasan ini tidak akan berjaya tanpa peranan rakyat. Pendidikan harus memupuk sikap keterbukaan sejak kecil. Anak-anak perlu digalakkan berkawan tanpa mengira kaum.
Di universiti, program silang budaya wajar diperkasa. Dalam keluarga, ibu bapa harus menanam nilai menghormati jiran walaupun berlainan agama.
Dalam bidang politik, pemimpin mesti menjauhi retorik sempit. Rasulullah menolak fanatik asabiyyah kerana ia membawa perpecahan. Baginda menegakkan masyarakat berdasarkan iman, akhlak dan tanggungjawab bersama.
Dalam bidang ekonomi pula, jurang antara kaya dan miskin mesti ditangani dengan adil agar tiada kaum berasa terpinggir. Keamanan dan perpaduan hanya akan kukuh jika rakyat menikmati kesejahteraan bersama.
MOMENTUM MAULIDUR RASUL
Perpaduan adalah amanah besar bukan hanya di bahu kerajaan tetapi juga rakyat. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini memberi pedoman bahawa kasih sayang sesama manusia adalah asas perpaduan.
Maulidur Rasul kali ini wajar dijadikan momentum untuk mengukuhkan kesatuan rakyat Malaysia. Sirah Rasulullah SAW mengajar kita masyarakat berbeza bangsa dan agama mampu hidup aman, asalkan diasaskan pada nilai keadilan, pengiktirafan kepelbagaian, dan musyawarah.
Apabila nilai ini dijadikan panduan dalam dasar kerajaan, diamalkan oleh pemimpin dan dihayati rakyat, Malaysia akan terus berdiri teguh sebagai sebuah negara yang maju, aman dan bersatu.
Inilah warisan Rasulullah SAW yang mesti kita teruskan iaitu menyatukan umat, membina negara harmoni.-UTUSAN
DR. Mhd. Faizal Mhd. Ramli ialah Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia & Penyelidik Kehormat Menara Rezeki Sdn. Bhd.










