MINGGU lalu, saya berpeluang menyertai pengalaman yang amat bermakna apabila dijemput oleh Institut Pengajian Termaju Kemampanan, Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU-IAS), untuk membentangkan kertas kerja dalam salah satu sesi di Ekspo 2025 yang berlangsung di Osaka, Jepun.
Bersempena ekspo dunia tahun ini, Kementerian Alam Sekitar Jepun dengan kerjasama pihak UNU-IAS menganjurkan Kem SDG Muda dengan tujuan memberi pendedahan tentang kemampanan dari sudut berbeza, mengambil pengalaman negara dan budaya di serata dunia.
Bagi sesi yang menampilkan suasana di Malaysia, mereka menjemput rangkaian RCE Greater Gombak yang diwakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Wikimedia Malaysia, bagi mengisahkan tentang budaya hidup warga peribumi Malaysia dalam menjaga kepelbagaian biologi tempatan.
Pihak UIAM diwakili Pengarah Pusat Sejahtera untuk Kemampanan dan Kemanusiaan, Prof. Zainal Abidin Sanusi, manakala saya ditugaskan untuk mewakili Wikimedia Malaysia bersama-sama Taufik Rosman, seorang guru dari Sabah, berdasarkan pengalaman kami menjalankan kegiatan pemeliharaan budaya Orang Asli.
Untuk bahagian tersebut, saya diminta untuk merangka satu aktiviti interaktif yang bukan sahaja menyertakan sebuah permainan tetapi juga menggabungkan sudut pemeliharaan biologi dalam kehidupan warga peribumi Malaysia.
Mengendalikan sesi sebegini merupakan pengalaman baharu kerana saya belum pernah melakukan sesuatu seperti ini, terutamanya pada skala sebesar ini. Hasil perahan otak masing-masing dalam pasukan, kami mencipta sebuah permainan padan terup bernama Ramuan & Radas (Roots & Relics).
Melalui permainan ini, peserta dapat mempelajari tentang kepentingan kepelbagaian alam dalam daya langsung masyarakat, terutamanya bagi mereka yang hidup secara lestari dan mesra alam seperti warga peribumi. Alatan yang diguna seperti bubu, tempok dan kercang semuanya diperbuat daripada bahan-bahan asli yang pelbagai serta memerlukan kepelbagaian spesies tersebut untuk kegunaan berbeza.
Mesyuarat demi mesyuarat diadakan bersama pihak UNU-IAS sepanjang beberapa bulan yang lalu, kami merangkakan segala perancangan secara teliti sehingga kepada hari-hari terakhir sebelum bertolak ke Tokyo menjelang tengah malam Khamis minggu lalu.
Sebaik sahaja selesai urusan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, saya terus menaiki kereta api ke stesen Tokyo, sebelum menaiki kereta api laju shinkansen menuju ke Osaka.
Perjalanan selama dua jam setengah menaiki laluan Nozami yang terpantas di Jepun itu tidak terasa lamanya kerana dapat menikmati pemandangan indah yang memukau mata memandang sepanjang perjalanan.
Sistem pengangkutan awam yang sangat baik dan cekap di Jepun sangat memudahkan pergerakan sepanjang berada di negara tersebut.
Setelah mendaftar masuk di hotel dan menerima pas masuk ekspo, saya menaiki kereta api menuju stesen di tapak Ekspo 2025 tersebut. Tatkala melangkah keluar, saya terpegun melihat kawasan ekspo yang begitu luas tersergam di hadapan mata.
Terletak di Pulau Yume, tapak tersebut dibina khas di kawasan yang begitu luas (383 ekar), lengkap dengan pelbagai prasarana termasuklah sebuah surau cantik berhawa dingin, yang dibina khas mengikut arah kiblat.
Setelah beratur panjang dan melalui pemeriksaan yang ketat di pintu masuk, mereka menyedari saya memakai pas khas dan patut memasuki pintu lain. Petugas tersebut lantas meminta maaf dan bergegas membawa saya ke pintu masuk yang sepatutnya. Walaupun tidak dapat berbahasa Inggeris, petugas tersebut tetap bersikap penuh hormat dan ramah, sambil bercerita beberapa perkasa dalam bahasa Jepun.
Melangkah masuk ke dalam kawasan ekspo, saya terkesima melihat suasana sekeliling yang begitu mengagumkan dengan seni binaan yang pelbagai. Walaupun tertarik dengan pelbagai astaka menarik, saya terus bergegas ke Kubah Mampan selaku tempat bengkel untuk bertemu dengan pihak UNU-IAS dan berbincang sesama pihak mereka serta rakan kerjasama lain sebagai persediaan terakhir untuk program pada keesokan harinya.
Sambil berkejar ke sana, sempat juga saya tersilap jalan kerana leka memerhatikan suasana sekeliling walaupun sudah memasang tekad untuk terus menuju ke lokasi mesyuarat agar tiba tepat pada masanya. Kawasan ekspo juga begitu luas dan dipenuhi pelbagai perkara, menjadikan segala destinasi lebih jauh daripada mana-mana tempat.

BENGKEL MALAYSIA CURI TUMPUAN
Setelah tiba di Kubah Mampan, saya sempat mengikuti sesi pembentangan dari perwakilan Kenya yang juga merupakan rakan saya, Evance Ouya, selaku Penyelaras Belia Serantau Afrika bagi rangkaian RCE di bawah UNU-IAS. Kali terakhir kami berjumpa pada November 2023 ketika menghadiri Persidangan Global RCE di Gombak.
Sesi Malaysia dijalankan pada hari seterusnya bermula jam 12 tengah hari waktu tempatan, dan kami mengadakan sebanyak tiga sesi secara keseluruhannya. Alhamdulillah, pengunjung begitu teruja dengan kegiatan yang kami jalankan. Ramai tertarik dengan pameran hasil produk serta alatan peribumi yang kami bawa dari Malaysia, seperti bubu, kercang, sompoton dan tempok.
Peserta dalam kalangan kanak-kanak kecil juga berasa seronok bermain Ramuan & Radas, terutamanya apabila mereka dapat meneka jawapan yang betul walaupun baru sahaja mempelajari tentang budaya peribumi Malaysia.
Malang sekali akibat kesuntukan masa, saya tidak sempat melawat banyak astaka dan tarikan di sekitar ekspo. Sejurus tamat bengkel terakhir, saya dan Taufik perlu bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai untuk mengejar penerbangan ke Tokyo bagi urusan seterusnya.
Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana diberi ruang dan peluang untuk membentang di sebuah persada yang begitu berprestij, serta menyaksikan Ekspo 2025 di depan mata.
Pengalaman ini memberi saya pandangan yang lebih luas dalam memahami dunia yang beraneka budaya lagi dinamik. Walaupun saya di sana untuk berkongsi pengajaran dari Malaysia, hakikatnya saya juga yang banyak belajar daripada pengalaman tersebut.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











