Tiada pertandingan jawatan lumrah dalam Pas

Tiada pertandingan jawatan lumrah dalam Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKTAMAR Tahunan Pas ke-71 pada 11 September ini yang menyaksikan tiada pertan­dingan jawatan-jawatan utama sekali gus bukan perkara baharu dalam parti itu yang dianggap amalan biasa bagi mereka.

Kecuali pemilihan untuk jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat, jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden menyaksikan penyandang kekal.

Malah jawatan ketua-ketua sayap iaitu Ketua Dewan Ulama, Ketua Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat juga sudah di­umumkan bahawa penyandang­nya menang tanpa bertanding meskipun pada awalnya ada pencabar.

Perbezaan inilah yang dikatakan membezakan Pas dengan parti lain apabila perebutan jawatan didakwa sering mencetuskan perbalahan, dendam dan perpecahan.

Tetapi dalam Pas, politik ‘akal budi’ menjadi asas apabila pemimpin tidak melihat jawatan sebagai tiket untuk berkuasa, sebaliknya sebagai amanah. Maka lahirlah pemimpin se­perti Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang rela berundur daripada pencalonan Naib Presiden buat kali ketiga demi mengekalkan kestabilan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), ‘akal budi’ merujuk kepada keupayaan minda dalam memahami perkara secara mendalam serta membuat pertimbangan yang bijaksana merangkumi pengetahuan praktikal, kebijaksanaan sosial dan pengalaman hidup.

Memetik kata-kata Muhammad Sanusi ‘siapa yang sudah biasa duduk di situ dan buat kerja dengan baik, teruskanlah. Tak akan ada persaingan atau perebutan apa’.

Dalam hal ini, Menteri Besar Kedah itu bukan sekadar membuat keputusan peribadi tetapi beliau sedang mengikut jejak langkah tokoh-tokoh besar Pas terdahulu.

Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah menolak tawaran jawatan lebih tinggi kerana mahu memberi laluan kepada orang lain, manakala Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menegaskan bahawa jawatan bukanlah kemuliaan, tetapi beban amanah.

Budaya inilah kini diteruskan oleh Muhammad Sanusi dan pemimpin Pas lain yang menolak jawatan bukan kerana tidak layak, tetapi kerana mahu menjaga kepentingan parti.

Beliau tidak pernah ke­kurangan sokongan, gelombang pengaruhnya di Kedah sudah cukup menjadi kayu ukur bagaimana diterima akar umbi. Namun, Muhammad Sanusi tahu bahawa menjaga keharmonian dalaman parti lebih utama daripada mengejar jawatan.

Bagi sebahagian orang, ia mungkin dilihat pelik. Mengapa seorang tokoh berpeng­aruh, yang sering disebut-sebut sebagai calon paling layak, menolak jawatan setinggi itu. Tetapi dalam Pas, itulah kebiasaan buat mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×