Nilai ketahanan seismik infrastruktur di Batu Pahat

Nilai ketahanan seismik infrastruktur di Batu Pahat

ZULKARNAIN Kamisan (duduk, tengah) beramah mesra dengan penduduk ketika hadir dalam Majlis Ramah Mesra dengan penduduk Kampung Parit Sentang Batu, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Kejadian gegaran lemah yang berlaku di Sri Medan di sini petang semalam seperti dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengejutkan penduduk setempat walaupun kesannya tidak dirasai.

Ini kerana mereka tidak menyangka kejadian serupa yang berlaku di Segamat minggu lalu merebak ke kawasan itu walaupun jarak kedua-dua daerah ini terpisah puluhan kilometer.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkarnain Kamisan berkata, ia termasuklah kejadian gempa bumi lemah di kawasan perairan Selat Melaka pada 31 Ogos lalu yang terletak kira-kira 28 kilometer barat daya Batu Pahat

Bagaimana pun, katanya kedua-dua kejadian samada petang semalam dan pada Ahad lalu tidak dirasai oleh penduduk dan tiada sebarang kejadian membimbangkan berlaku.

“Walau apa pun keadaannya, infrastruktur di kawasan Batu Pahat wajar dinilai semula daripada segi ketahanan seismik walaupun risikonya rendah.

“Kerajaan juga perlu mempertingkatkan kajian geofizik lanjut terhadap zon sesar di Johor selain MetMalaysia melakukan pemantauan berterusan,” katanya ketika ditemui pada majlis bertemu masyarakat di Kampung Parit Sentang Batu, Parit Sulong disini hari ini.

Menurutnya lagi, pihaknya juga akan memberikan penerangan secara mulut ke mulut kepada penduduk di kawasan Sri Medan mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kejadian serupa yang lebih kuat pada masa akan datang.

Ujarnya, pada masa ini penduduk tetap menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa tanpa ada rasa kebimbangan bahawa gegaran lebih kuat akan berlaku.

“Sama-sama kita berdoa agar kawasan Sri Medan dan Batu Pahat khususnya terhindar daripada sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×