UMAT Islam akan menyambut Maulidur Rasul pada esok, bersamaan 12 Rabiulawal 1447 Hijrah. Tujuannya untuk memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Dari segi sejarahnya perayaan ini dipercayai bermula pada zaman Dinasti Fatimiyyah di Mesir sekitar abad ke-11 yang kemudiannya berkembang ke seluruh dunia Islam sebagai sambutan tahunan yang diisi dengan pelbagai acara seperti perarakan, selawat, marhaban, majlis ilmu, kenduri dan pelbagai acara lain.
Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini dianggap perbuatan bidaah oleh sesetengah kelompok umat Islam, namun majoriti umat Islam berpegang kepada pendekatan sederhana dari tokoh-tokoh Islam seperti Imam Jalaluddin Sayuti, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Yusuf Qaradawi dan fuqaha lain yang mengharuskan sambutan Maulidur Rasul selagi mana tidak dicampur adukkan perkara menyalahi syariat Islam.
Malah, ada tokoh hebat dari Eropah seperti Christian Cherfils dalam bukunya, Napoleon and Islam: From French and Arab Documents menyebut Napoleon Bonaparte yang dikatakan kagum terhadap Rasulullah menganjurkan upacara menyambut Maulidur Rasul secara besar-besaran. Bahkan memetik sehingga ada yang mengatakan Napoleon diakhir hayatnya adalah seorang Muslim dengan nama Muhammad Ali Bonaparte.
Apa pun, kita berpegang kepada pendapat sambutan Maulidur Rasul ini merupakan bidaah hasanah yang mempunyai faedah atau kebaikan buat umat Islam akhir zaman ini. Antaranya sambutan ini bukan sekadar untuk memperingati kelahiran Nabi, tetapi dapat mendorong umat Islam memperbaharui komitmen mereka terhadap ajaran baginda.
Sambutan kelahiran Rasulullah ini harus dijadikan wadah terbaik untuk menghayati kembali ajaran Nabi Muhammad SAW supaya kita tidak lupa, lalai atau hanyut dalam kehidupan akhir zaman yang penuh fitnah dan cabaran.
Selain itu, sambutan ini juga dapat mempererat ukhwah Islamiah atau silaturrahim dalam kalangan umat Islam.
Apa pun, yang penting ialah melalui sambutan terhadap sejarah kelahiran dan kehidupan Rasulullah ini akan dapat memperkukuh akidah, nilai-nilai keagamaan dan akhlak yang diajarkan Nabi Muhammad SAW.
Umat Islam wajar memahami tugas Rasulullah adalah sebagai penyeru kepada umat manusia seluruhnya, kepada agama Allah, sebagai saksi terhadap umatnya, pembawa berita gembira untuk orang-orang beriman, pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar dan sebagai pendidik yang mendidik umatnya.
Walaupun Rasulullah telah lama wafat pada 12 Rabiulawal 11 Hijrah (632M) seperti yang diriwayatkan sebahagian besar ahli sejarah, namun, ajaran baginda terutama bersumberkan al-Quran masih utuh terpelihara dan tetap relevan sepanjang zaman.
Hari ini umat Islam termasuk di Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran kehidupan yang menguji akidah dan keimanan mereka.
Selain itu umat Islam juga berdepan dengan pelbagai krisis dan konflik politik yang berlaku di dunia Islam.
Justeru, kita berharap melalui sambutan Maulidur Rasul ini akan dapat mengerak dan membangkit perubahan yang diinspirasikan melalui teladan dari sirah Rasulullah. Apa gunanya menyambut Maulidur Rasul jika ia tidak atau gagal menjadi pencetus kepada perubahan dan kebangkitan umat Islam?
IKTIBAR BUAT AHLI POLITIK
Di negara kita, umat Melayu-Islam berdepan pelbagai isu sosiopolitik dan sosioekonomi yang bercelaru, berpunca daripada kepemimpinan yang tidak terarah serta dicatur oleh kelompok politik tertentu.
Golongan ini kurang senang dengan teras penguasaan politik Melayu-Islam. Justeru, dalam merungkai permasalahan ini, ahli politik beragama Islam tidak seharusnya sekadar menasihati umat agar mengikuti ajaran Rasulullah SAW, sedangkan mereka sendiri gagal mencontohi teladan dan akhlak baginda.
Apa yang dilihat hari ini ahli-ahli politik masih terus berselisih dan bercakaran sehingga melemahkan kekuasaan Islam. Mereka hilang sikap berkasih sayang dan bersatu padu, sebaliknya membenci, berselisihan dan berpecah-belah. Justeru, ahli-ahli politik harus menjadikan sirah dan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan dan rujukan terbaik.
Dalam usaha memahami serta mempraktikkan ajaran Rasulullah SAW, amat wajar bagi umat Islam menghidupkan budaya ilmu dengan membaca dan mentadabbur al-Quran, menghayati hadis-hadis Nabi serta menelusuri sirah baginda. Melalui cara ini, kita dapat mengenali dan menghayati ajaran Rasulullah dengan lebih mendalam.
Memahami dan meneladani Rasulullah merupakan kewajipan buat semua umat Islam, maka sudah tentu ia dapat dicapai melalui proses pembelajaran ilmu.
Pengajian sirah Rasulullah yang berasaskan sumber-sumber sahih akan dapat mendidik jiwa dan rohani untuk mengasihi dan mencontohi baginda.
Kewajipan mencontohi akhlak insan yang mulia ini dirakamkan dalam surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan memperingati Allah (dalam masa susah dan senang).”
Pernah Saidatina Aisyah ditanya oleh seorang Badwi mengenai akhlak Rasulullah, maka beliau menjawab; “Akhlak Rasulullah adalah seperti al-Quran”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Kesimpulan, sambutan Maulidur Rasul merupakan amalan yang baik dan seharusnya diterima sebagai salah satu wadah untuk mengingati insan yang mulia yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan ajaran Islam buat seluruh manusia.
Baginda juga diutuskan untuk memperbaiki akhlak manusia agar menjadi insan yang mulia sesuai dengan sifat kejadiannya.
Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah sebaik-baik makhluk yang dipuji di langit dan di bumi kerana kehadirannya membawa rahmat ke seluruh alam.
Oleh sebab itulah apabila mendengar nama insan yang mulia ini maka dianjurkan berselawat (berdoa) untuknya.-UTUSAN
PENULIS adalah Penganalisis sosiopolitik bebas.










