Ruang tahanan suspek rasuah Indonesia sudah penuh

Ruang tahanan suspek rasuah Indonesia sudah penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Badan pencegahan rasuah Indonesia (KPK) memaklumkan fa­siliti tahanannya kini penuh selepas beberapa siri operasi tangkapan berprofil tinggi dijalankan sepanjang tahun ini.

Rasuah merupakan ma­salah lama di ekonomi terbesar Asia Tenggara itu, dengan Indonesia berada di kedudukan ke-99 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah 2024 oleh Transparency International.

Sejak awal 2025, KPK melaksanakan sekurang-kurangnya lima operasi tangkapan termasuk penahanan Timbalan Menteri Tenaga Kerja, Immanuel Ebenezer minggu lalu, menjadikannya anggota pertama Kabinet Presiden Prabowo Subianto yang ditahan atas tuduhan rasuah.

“Kapasiti ideal pusat tahanan KPK ialah 51 orang. Buat masa ini, kami menahan seramai 57 individu.

“Walaupun sudah penuh, ia tidak menghalang usaha pemberantasan rasuah yang sedang dilakukan KPK,” kata jurucakap KPK, Budi Prasetyo.

Prabowo yang memulakan pentadbirannya pada Oktober lalu, berikrar untuk memperhebatkan usaha memerangi rasuah yang menurutnya membocorkan kewangan negara.
“(Indonesia memiliki) kekayaan luar biasa, tetapi terlalu ramai pencuri yang merompak wang rakyat. Saya bertekad untuk membetulkan keadaan ini,” katanya pada satu acara di Jakarta, Jun lalu.

Namun, penganalisis politik dan aktivis anti-rasuah, Ray Rangkuti menegaskan siri tangkapan terbaharu itu tidak setanding dengan jumlah kes rasuah sebenar di Indonesia.

“Kita mungkin hanya melihat satu per 10, malah mungkin lebih kecil daripada itu, berban­ding jumlah kes rasuah yang berleluasa,” katanya kepada Arab News.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×