PUTRAJAYA: Ahli parti yang tidak berpuas hati dengan mana-mana individu dalam parti boleh menggunakan saluran sedia ada termasuk merujuk perkara itu kepada Lembaga Disiplin.
Itu reaksi Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengulas isu ‘drama’ perbalahan antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang sebelum ini dilaporkan mencabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.
Azalina berkata, UMNO adalah sebuah parti yang sudah lama ditubuhkan malah, ia mempunyai sistem prosedurnya sendiri dalam menangani isu membabitkan disiplin dalam kalangan ahli.
“Saya tengok kalau seseorang tak puas hati dia boleh lapor ke Lembaga Disiplin parti. Apa-apa pun isu selalunya dibawa pada perbincangan.
“Sebab, UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai fokus. Siapa tak setuju antara parti dan pemimpin itu memang biasalah dalam politik,” katanya ditemui selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang di sini, pagi ini.
Beliau mengulas perbalahan antara Dr. Muhamad Akmal yang sebelum ini dilaporkan mencabar Lokman supaya berdepan dengannya sama ada di mahkamah ataupun di gelanggang.
Perbalahan itu timbul susulan kenyataan Lokman yang menuduh Ketua Pemuda UMNO itu mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri.
Amaran itu dibuat selepas Lokman secara terbuka menggelar beliau sebagai ‘Ketua Pemuda H20’ dalam satu wawancara bersama sebuah platform baru-baru ini.
Mengulas surat daripada Pemuda UMNO Kapar kepada Lembaga Disiplin UMNO mendesak tindakan diambil terhadap Lokman, Azalina berkata, perkara itu boleh dibincangkan dalam parti
“Kalau siapa tak puas hati, dia boleh bawa dalam perbincangan. Saya tidak ada masalah. Kalau siapa puas hati boleh bawa dalam perbincangan,” katanya.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar, Mohd. Affifi Mohd Aris dilaporkan menggesa agar tindakan segera diambil terhadap Lokman kerana membuat tuduhan tidak berasas terhadap Dr Muhamad Akmal.
Beliau dilaporkan berkata, tuduhan kononnya Dr. Muhamad Akmal mahu menaikkan Hishammuddin sebagai Perdana Menteri merupakan satu naratif palsu yang hanya merosakkan perpaduan parti. – UTUSAN










