KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin Bersatu digesa menjalankan siasatan yang telus, menyeluruh dan berani susulan aduan disiplin rasmi yang difailkan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Bersatu Putrajaya, Hariz Faisal Ismail berkata, siasatan tanpa pilih kasih itu penting bagi mempertahankan integriti, kredibiliti dan kelangsungan parti, khususnya apabila aduan berkenaan melibatkan Presiden sendiri.
Tegasnya, Lembaga Disiplin juga tidak boleh berdiam diri dan perlu bertindak secara profesional serta berprinsip, tanpa mengambil kira kedudukan atau jawatan mana-mana pihak.
“Isu parti tersebut tidak boleh terus dikendalikan melalui keputusan sepihak, penafian terbuka atau tindakan yang mencalar institusi parti sendiri.
“Disiplin mesti ditegakkan walau setinggi mana pun jawatan seseorang. Ini bukan soal individu, sebaliknya melibatkan prinsip, disiplin dan masa depan parti.
“Aduan tersebut dibuat berhubung dakwaan pelanggaran tatatertib parti yang serius, termasuk tindakan dan kenyataan Presiden.
“Khususnya melibatkan sepucuk surat bertarikh 27 Januari 2026 kepada Presiden parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN), selain penggunaan nama dan imej parti tanpa keputusan rasmi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, beliau mendakwa penafian yang dibuat melalui surat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertarikh 28 Januari 2026 telah menimbulkan kekeliruan besar, sekali gus mencemarkan kredibiliti, maruah dan imej institusi Presiden serta reputasi parti itu secara keseluruhan.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja mengelirukan ahli parti, malah memberi persepsi buruk kepada rakyat serta rakan gabungan.
“Cadangan dan tindakan yang terkandung dalam surat Presiden berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan secara rasmi melalui Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) atau Majlis Presiden, selain bertentangan dengan keputusan-keputusan terdahulu parti.
“Presiden terikat sepenuhnya dengan Perlembagaan Parti, termasuk Fasal 22.1(c) berkaitan pelaksanaan dasar parti, Fasal 22.1(d) mengenai pematuhan arahan dan keputusan parti serta Fasal 22.1(f) berhubung kewajipan memelihara nama baik dan maruah parti.
“Tiada mana-mana individu, termasuk Presiden, boleh berada di atas Perlembagaan Parti,” tegasnya.
Menurut Hariz, sebagai bekas pemimpin di peringkat bahagian dan nasional, beliau mengambil tanggungjawab moral sebagai ahli yang sayangkan parti untuk mengemukakan laporan disiplin berkenaan.
“Saya mengambil rasa tanggungjawab sebagai ahli yang sayang kepada parti untuk melakukan laporan disiplin ini,” katanya. – UTUSAN










