SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin wajar disiasat berhubung dakwaan terhadapnya yang dikatakan menjadi menjadi dalang di sebalik siri kritikan terbuka terhadap kepimpinan parti, khususnya Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Harrison Hassan berkata, perbuatan itu sekiranya benar merupakan satu bentuk penderhakaan terbuka terhadap kepimpinan sah dan tidak boleh diterima dalam sebuah parti yang berteraskan prinsip perjuangan dan kesetiaan.
“Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan semakin kuat, Hamzah bukan sekadar berdiam diri, malah dipercayai menjadi perancang kepada tindakan terancang yang bertujuan melemahkan kepemimpinan presiden serta merosakkan parti dari dalam,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Justeru, beliau menggesa lembaga disiplin parti segera membuka siasatan menyeluruh, telus dan tanpa sebarang perlindungan politik terhadap Hamzah.
“Sekiranya dakwaan tersebut dibuktikan, tindakan disiplin paling tegas perlu diambil selaras dengan peruntukan Perlembagaan parti tanpa mengira kedudukan atau jawatan,” tegasnya.
Tambahnya, ia berikutan terdapat tindakan serta tingkah laku sebilangan pemimpin parti kebelakangan yang dilihat sebagai biadab, tidak bertanggungjawab dan jelas mencabar disiplin serta kesetiaan kepada parti.
Malah, Ketua Bersatu Bahagian Kuala Selangor itu menegaskan, perbuatan memperlekehkan kepimpinan secara terbuka bukan sahaja mencemarkan imej Bersatu di mata rakyat, malah bercanggah dengan perlembagaan parti yang menuntut setiap ahli memelihara disiplin, menghormati struktur kepimpinan dan menjaga perpaduan dalaman. – UTUSAN










