Gubahan bunga bukan sekadar seni menghias, tetapi juga lambang rasa cinta dan kesetiaan terhadap tanah air.
Apabila kuntuman bunga digubah dengan warna merah, putih, biru dan kuning yang melambangkan Jalur Gemilang, hasilnya bukan sahaja indah dipandang mata malah menjadi simbol semangat patriotik yang berakar dalam jiwa masyarakat.
Seiring sambutan ulang tahun kemerdekaan, kreativiti ini dizahirkan melalui pertandingan gubahan bunga bertema Jalur Gemilang yang dianjurkan sempena Sukan Rakyat Madani Jiwa Merdeka 2025 oleh
Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan, Komuniti Desa Madani Kampung Labohan Dagang, Sepang.
Menurut Ketua Puteri UMNO Bahagian Sepang, Nurhidayu Ahmad Puzii, pertandingan ini bukan sahaja meraikan seni dan kreativiti, tetapi juga menghidupkan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk.
“Apa yang penting penghayatan kemerdekaan oleh pelbagai pihak tidak kira kanak-kanak, belia dan warga emas terus disemarakkan di saat mereka menyertai pertandingan sepanjang hari ini,”katanya.
Lebih menarik, suasana pertandingan dihiasi dengan pelbagai gubahan kreatif berinspirasikan Jalur Gemilang. Warna bendera negara yang terang menjadikan setiap hasil karya tampak meriah dan penuh semangat.
Bagi Salmah Punding, 65, minat menggubah bunga telah lama sebati dalam dirinya.
Walaupun sudah bergelar warga emas, dia tetap mengikuti trend melalui media sosial seperti TikTok untuk menambah idea.
“Paling penting, gubahan bunga ini dibuat dengan tenang. Bahannya bebas dan mudah didapati.
“Anak-anak saya tujuh orang semua sudah besar dan berkeluarga, jadi banyak masa terluang untuk saya membuat kerja kreatif,” katanya.
Sahabatnya, Suriah Mohsin, 68, pula menjadikan penyertaannya kali ini lebih bermakna kerana beliau dilahirkan pada tahun kemerdekaan, iaitu 1957.
“Warna tema Jalur Gemilang sememangnya cantik apabila digubah dengan gabungan semangat patriotik dan kreativiti tersendiri.
“Sewajarnya, Jalur Gemilang dijaga dan dipasang dengan betul-betul. Dalam usia begini saya asyik terkenang betapa susahnya orang dahulu mencapai kemerdekaan negara,”ujarnya.
Tambahnya, bukan hadiah yang dikejar tetapi demi kecintaan dirinya kepada aktiviti bermasyarakat bersama teman-teman sebaya yang dikenali sejak usia muda lagi dan menyemarakkan jiwa merdeka dalam kalangan masyarakat setempat.
Lebih daripada sekadar pertandingan, acara ini mencerminkan keharmonian masyarakat desa melalui sukaneka, memancing atau gubahan bunga.-UTUSAN










