ALOR SETAR: Empat penjenayah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis, dua minggu lalu.
Kesemua tertuduh, Muhamad Badry Muhamad Azami, 24; Mohamad Hafiz Khazli, 26; Badri Iman Abdul Nasir, 25, dan Mohd. Saifuan Mohd. Noor, 34, mengaku faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama membunuh Koperal Mohd. Hafizul Izham Mazlan, 35, di hadapan sebuah rumah di Taman Golf, di sini kira-kira pukul 3.43 petang, 7 Ogos lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum tidak kurang 12 sebatan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim sementara semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap mereka dan memerintahkan keempat-empat tertuduh ditahan di Penjara Alor Setar, sementara kes akan disebut semula pada 23 November depan.
Pada 7 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan Mohd. Hafizul Izham maut akibat dirempuh dan digilis kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Lexus dinaiki empat penjenayah ketika cuba melarikan diri setelah memecah masuk sebuah rumah di Taman Golf.
Dalam kejadian itu, mangsa yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada anggota badan. – UTUSAN










