'Semasa saya mengalami kemurungan...'

‘Semasa saya mengalami kemurungan…’

Lee Zii Jia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui berdepan kemurungan dan keraguan terhadap diri sendiri sepanjang lima bulan ,menjalani pemulihan akibat kecederaan.

Zii Jia berada di ranking ke-52 dunia bakal membuat kemunculan semula di Kejohanan Dunia, Paris bermula hari ini mengakui tempoh jauh dari gelanggang itu merupakan detik paling sukar dalam kariernya.

Bercakap kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zii Jia mengakui dia pernah terdetik untuk berhenti bermain ekoran kecederaan yang dihadapinya.

“(Untuk berehat selama lima bulan) bukanlah sesuatu yang normal. Saya pernah berada dalam situasi di mana saya terfikir untuk berhenti bermain kerana semua kecederaan ini, semua perkara yang membebankan saya.

“Saya pernah lalui naik turun sebelum ini tetapi tidak pernah perlu berdepan dengan kecederaan. Ini kali pertama saya hadapi kecederaan besar seperti ini.

“Jadi, ia sesuatu yang baharu bagi saya dan apabila ia berlaku, saya memang terkejut dan buntu. Saya tak tahu apa yang patut saya buat dan bagaimana untuk menangani masalah ini,” katanya.

Zii Jia mengalami kecederaan buku lali yang serius sejak Disember lalu dan dia hanya sempat menyertai dua kejohanan tahun ini, Terbuka Orleans dan All England, kedua-duanya pada Mac lalu.

Pemain dari Alor Setar itu turut berkata, sepanjang tempoh rehat tersebut dia berdepan kemurungan namun minatnya terhadap seni lukis telah membantu membawa dirinya keluar daripada masalah tersebut.

“Semasa saya mengalami kemurungan, saya berada di satu titik tengah di mana saya cuba mencari sesuatu untuk mengalihkan perhatian saya. Saya cuba banyak perkara baru, seperti membaca buku. Saya malah mencuba terjunan udara di Dubai.

“Kemudian saya juga pergi ke muzium seni di Abu Dhabi. Ia adalah percutian solo, satu perjalanan penyembuhan untuk diri saya sendiri. Saya belajar sesuatu yang baru sekali lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×