QADIR NAGAR: Kegembiraan menjelang hari perkahwinan Noor Muhammad bertukar tragedi apabila banjir besar meragut nyawa 23 ahli keluarga dan saudara-maranya, hanya dua hari sebelum majlis berlangsung.
Muhammad, 25, yang bekerja sebagai buruh di Malaysia, pulang ke kampung halamannya di Qadir Nagar, daerah pergunungan Buner, selepas tiba di Lapangan Terbang Islamabad pada 15 Ogos lalu.
Namun, sebaik tiba di rumah, yang disambutnya bukanlah persiapan majlis perkahwinan, sebaliknya berita pemergian ibu, adik-beradik, bapa saudara, datuk serta sepupu-sepupu yang terkorban apabila arus deras banjir lumpur memusnahkan kediaman 36 bilik milik keluarganya.
“Hari itu, ibu sangat gembira bercakap dengan saya di telefon. Tetapi bila saya sampai, semuanya sudah tiada. Yang tinggal hanya runtuhan batu, lumpur dan serpihan rumah,” katanya dalam linangan air mata ketika ditemui pemberita.
Hanya empat orang daripada 28 penghuni rumah itu yang terselamat, termasuk bapanya dan seorang lagi abang, yang kebetulan berada di Islamabad untuk menjemputnya di lapangan terbang.
Tunangnya pula terselamat kerana rumah keluarganya terletak jauh dari kawasan paling teruk dilanda bencana.
Daerah Buner merupakan kawasan paling teruk terjejas dalam banjir kali ini, menyumbang lebih 200 daripada hampir 400 kematian yang dicatatkan di wilayah barat laut sejak 15 Ogos lalu.
Banjir kilat itu berpunca daripada hujan monsun lebat serta fenomena hujan luar biasa yang jarang berlaku, membadai kawasan pergunungan sebelum merebak ke seluruh Pakistan, negara berpenduduk lebih 240 juta orang.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA), angka korban di seluruh negara sejak hujan monsun bermula pada akhir Jun mencecah 776 orang, manakala lebih 25,000 orang telah diselamatkan di wilayah barat laut.
Tentera darat dan udara dikerahkan untuk misi menyelamat serta mengagihkan bantuan.
Pegawai tempatan memberi amaran dua lagi kitaran hujan monsun dijangka berlarutan sehingga 10 September, sekali gus meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh.
Buner dilanda hujan badai yang membawa lebih 150 milimeter hujan dalam tempoh satu jam, hujan paling lebat pernah direkodkan musim ini dan mengakibatkan kemusnahan besar-besaran. -AGENSI











