JDT benam Lion City 3-1

JDT benam Lion City 3-1

Penyerang JDT Joao Figueredo meraikan gol jaringannya pada aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN Piala Shopee menentang Lion City Sailors FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengorak langkah kanan dalam Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) bagi merebut Piala Shopee apabila menjinakkan kelab Singapura, Lion City Sailors 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, petang tadi.

Beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Xisco Munoz berjaya menguasai permainan dan mendesak pasukan pelawat untuk lebih banyak bertahan dan berkampung di bahagian bawah.

Hantaran demi hantaran yang dilakukan ke dalam kotak penalti memaksa pertahanan lawan melakukan kesilapan di mana Safuwan Baharudin melakukan kekasaran terhadap Jairo Da Silva.

Pengadil perlawanan dari Jepun, Takasaki Koji membenarkan Harimau Selatan mengambil sepakan penalti setelah semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesan berlaku kekasaran terhadap penyerang Brazil itu.

Joao Figueiredo yang diberikan tanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti itu mudah memperdayakan penjaga gol, Ivan Susak yang melayangkan badan ke arah berlainan bagi membuka jaringan pada ke-11.

Lima minit berselang, Figueiredo menggandakan jaringan setelah hantaran Arif Aiman Hanapi ke dalam kotak penalti gagal dikeluarkan dengan sempurna oleh pertahanan lawan dan pemain warisan itu berada di posisi yang tepat menerima bola dan menyudahkan dengan tenang.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat itu cuba mempertingkat rentak permainan bagi merapatkan jurang gol namun tidak berupaya menghasilkan percubaan berbahaya ke kubu JDT.

Bergson Da Silva yang dibawa masuk pada pertengahan babak kedua juga dilihat bergelut untuk melakukan jaringan GOL bagi meletakkan JDT di kedudukan yang lebih selesa.

Pada masa kecederaan, JDT menambah derita buat pasukan pelawat apabila meledak gol ketiga perlawanan berpunca daripada sepakan bebas pantas yang diambil Nacho Mendez mencari Arif Aiman yang bersahaja menewaskan penjaga gol lawan.

Lion City akhirnya berjaya memperoleh gol sagu hati perlawanan apabila Muhammad Shawal Anuar melepaskan rembatan lencong dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gawang, Andoni Zubiaurre sebelum wisel penamat ditiupkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×