KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) melalui Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dan Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia memandang serius peningkatan drastik insiden kemalangan melibatkan hidupan liar.
Rekod Perhilitan menunjukkan lebih 2,300 insiden kemalangan melibatkan hidupan liar jalan raya berlaku dari tahun 2020 hingga 2024. Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan dikenal pasti sebagai antara jalan raya yang mencatatkan insiden kemalangan melibatkan haiwan liar jalan raya tertinggi.
Menyedari kepentingan mengenal pasti langkah praktikal dan segera melalui pendekatan keseluruhan masyarakat untuk mengurangkan insiden kemalangan dan meningkatkan keselamatan. Satu sesi meja bulat peringkat tertinggi mengenai tindakan segera penyediaan infrastruktur jalan raya yang lebih selamat untuk manusia dan hidupan liar di JRTB diadakan pada 17 Julai, lalu.
Sesi ini dihadiri seramai 60 orang jemputan daripada pihak berkepentingan utama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan utama seperti Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, wakil kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta termasuk pemegang konsesi lebuh raya, Persatuan Peniaga Alat Ganti Kejuruteraan dan Kenderaan Selangor dan Wilayah Persekutuan (EMPTA). Beberapa langkah jangka pendek dikenal pasti termasuk mengukuhkan perundangan, pemasangan papan tanda mesra alam serta meningkatkan kesedaran pemandu dan menggalakkan tingkah laku jalan raya yang bertanggungjawab.
Penyelesaian jangka pertengahan dan panjang pula termasuk pengayaan habitat, meningkatkan ketersambungan hutan dan memelihara lintasan hidupan liar sedia ada. Pelaksanaan langkah-langkah ini diharapkan dapat diperkukuhkan dan dilaksanakan secara proaktif lebih-lebih lagi sempena sambutan Hari Gajah Sedunia (WED) pada 12 Ogos setiap tahun. Aspirasi WED bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia tentang kepentingan pemuliharaan dan perlindungan spesies gajah serta ancaman yang dihadapi. Ini juga selaras dengan Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah Kebangsaan (NECAP 2.0). Bersempena dengan WED 2025, WWF-Malaysia memeterai surat perjanjian dengan EMPTA untuk bekerjasama dalam inisiatif yang menggalakkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan kemalangan melibatkan hidupan liar. Kerjasama ini membabitkan syarikat pengangkutan, penyedia perkhidmatan logistik dan pihak berkepentingan lain untuk mempromosikan amalan pemanduan yang selamat apabila melalui zon ekologi.
WED 2025 diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memulihara hidupan liar termasuk gajah dan mengukuhkan sokongan pelbagai pihak berkepentingan bagi melindungi serta memulihara gajah demi kesejahteraan hidup generasi kini mahupun akan datang.-UTUSAN
KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM










