PASIR MAS: Enam pelajar tingkatan empat ditahan polis bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang remaja berusia 15 tahun termasuk memukul dan melondehkan seluar mangsa ke paras lutut di sebuah sekolah, di sini kelmarin.
Penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan kejadian tersebut itu yang dibuat pelajar tingkatan tiga di sekolah tersebut pukul 2.55 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, mangsa mendakwa ditumbuk, disiku di kepala dan ditendang pada bahagian punggung oleh lima pelajar tingkatan empat.
Katanya, mangsa bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti nama kesemua pelajar yang memukulnya.
“Salah seorang suspek dipercayai bertindak melondehkan seluar sukan yang dipakai mangsa sehingga ke paras lutut.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian kepala selain takut dan trauma untuk ke sekolah kerana sering diganggu oleh suspek yang sama secara berulang,” katanya hari ini.
Kama Azural berkata siasatan awal mendapati, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian membuli mangsa.
Keenam-enam remaja berusia 16 tahun itu ditahan reman enam hari sehingga Isnin ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, Seksyen 507B Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah melalui komunikasi dan Seksyen 14(A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Terdahulu, tular hantaran seorang wanita di Facebook yang menyatakan bahawa anak saudaranya dijerut dengan dawai, ditendang, dipukul dan seluarnya dilondeh sehingga paras lutut semasa berada di sebuab sekolah di daerah ini.
Menurutnya, keluarga enam orang pembuli yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat itu datang ke rumah ibu dan bapanya memohon agar kes tersebut ditarik. – UTUSAN










