Pendakwaan perlu libatkan unsur kematian Zara Qairina

Pendakwaan perlu libatkan unsur kematian Zara Qairina – Peguam

HAMID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peguam ke­luarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir berharap pendakwaan terhadap individu yang terbabit dalam kes buli pelajar berusia 13 tahun itu dikaitkan secara langsung dengan kematian mang­sa agar hukuman berat dapat dikenakan jika berlaku sabitan.

Peguam, Hamid Ismail berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa lima suspek di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, esok, namun pertuduhan yang dilakukan perlu menggunakan peruntukan undang-undang lebih berat di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

“Keputusan ini selaras dengan cadangan kami sebelum ini kepada AGC memandangkan keterangan didedahkan pihak polis jelas menunjukkan wujud unsur buli sebelum tragedi menimpa Zara.

“Kami berharap pendakwaan itu mengguna pakai seksyen berkenaan agar hukuman tinggi dapat dikenakan terhadap mereka jika sabit kesalahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hamid berkata, sehingga kini pihaknya belum dimaklumkan mengenai identiti suspek serta peruntukan undang-undang yang akan digunakan semasa pertuduhan.

Seramai lima individu akan didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, esok kerana terbabit dalam kes buli pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, kesemua yang dituduh berusia bawah 18 tahun.

“Pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu. Seramai lima orang yang akan dituduh dan mereka semuanya berusia di bawah 18 tahun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

AGC memutuskan untuk mendakwa beberapa suspek berdasarkan keterangan diperoleh dalam kes buli tersebut.

Mohd. Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak­nya meneliti kertas siasatan kes kematian Zara Qairina yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Keputusan untuk mendakwa suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat kerana ia tidak akan mengganggu proses inkues yang sedang dirancang.

“Jabatan ini juga menegaskan bahawa walaupun pertuduhan telah dibuat, ia sama sekali tidak menjejaskan siasatan PDRM berhubung kes kematian Zara Qairina, termasuk prosi­ding inkues yang akan dijalankan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×