KOTA KINABALU: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menggesa agar semua pihak mempunyai sifat empati mengenai kejadian melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Nurul Izzah berkata, insiden pelajar itu seharusnya melihat daripada sudut kemanusian.
“Bila kita cerita tentang desakan bagi pembelaan dan menegakkan keadilan allayarhamah Zara, saya melihat dari sudut pandangan sebagai manusia.
“Saya baru juga berjumpa dengan ibu Zara lebih kurang tiga minggu lepas.
“Dan sebagai seorang ibu, sudah tentunya kita inginkan keputusan terbaik dan keadilan dilakukan, jadi saya melihat lebih kepada konteks positif,” beliau berkata demikian selepas merasmikan bilik gerakan utama dan jentera pilihan raya PKR Cabang Api-Api di sini hari ini.
Nurul Izzah berkata, suara rakyat Sabah didengari mengenai keperluan untuk melahirkan suasana yang selamat.
Katanya, suasana selamat harus ada bukan sahaja di kawasan sekolah, tetapi di tempat kerja.
“Itulah cara saya melihatnya, dan saya gembira ia diperkenalkan di Parlimen.
“Penting bagi ia ditangani. Tetapi juga penting untuk kita mempunyai empati,” katanya.
Nurul Izzah berkata kerajaan kini mencari penyelesaian bagi isu ini dan beliau sendiri sering memberi kritikan yang membina.
“Dan bagi saya, saya berharap kita semua bersama-sama memastikan keutamaan anak-anak kita dan keselamatan mereka,” kata beliau.
Kapsyen:
NURUL Izzah (kedua kiri) merasmikan bilik gerakan utama PKR Api-Api diiringi Pengerusi PKR Sabah, Datuk Ts Mustapha Sakmud (kanan).









