SESI persidangan Dewan Rakyat kembali ‘drama’ apabila ahli-ahli Parlimen bertikam lidah lebih hangat daripada perbahasan isi sebenar. Sidang yang sepatutnya membincangkan isu rakyat sering bertukar menjadi pentas pertengkaran, seolah-olah rakyat menonton debat realiti, bukan perbahasan dasar negara.
Sama ada di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara, kedua-duanya sepatutnya menjadi platform penting menentukan hala tuju negara. Malangnya, persidangan kerap dicemari sikap segelintir wakil rakyat yang mengabaikan peraturan dan menyalahgunakan kekebalan Parlimen demi kepentingan peribadi.
Justeru, ketegasan dan kebijaksanaan Speaker serta Timbalan Speaker amat penting dalam mengawal suasana Dewan, apatah lagi ketika segala perbahasan kini diperhatikan rakyat secara terbuka.
“Apabila peraturan dipatuhi, Dewan akan berfungsi dengan lancar. Tetapi jika diabaikan, ia boleh berubah menjadi gelanggang retorik politik yang membuang masa,” ujar Timbalan Speaker Dewan Rakyat, DATUK RAMLI MOHD. NOR.
Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands menegaskan integriti, pemahaman undang-undang dan tanggungjawab moral harus menjadi teras setiap wakil rakyat.
Wawancara ini turut dibantu oleh jurufoto, SHIDDIQIN ZON dan juruvideo, ZUID SAMSON.
DEWAN DIANGGAP BERUK
Setiap prosiding atau majlis yang diadakan di Dewan Rakyat atau Dewan Negara tertakluk kepada undang-undang dan peraturan khusus yang mentadbir perjalanan serta tatacara urusan dalam Dewan tersebut. Garis panduan ini telah sedia ada dan digariskan melalui Peraturan Majlis Mesyuarat.
Sepertimana wujudnya undang-undang yang mengawal tingkah laku di luar Dewan, begitu jugalah halnya di dalam Dewan. Sama ada di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara, peraturan ini menetapkan kaedah pelaksanaan dan tataurus setiap urusan dan perbahasan yang berlangsung.
Bagi saya, kunci keharmonian dalam Dewan adalah memahami dan mematuhi peranan serta peraturan yang ditetapkan. Suasana Dewan boleh diibaratkan seperti mahkamah, dengan dua pihak utama iaitu kerajaan dan pembangkang.
Speaker atau Timbalan Speaker bertanggungjawab mengendalikan mesyuarat dan memastikan semuanya berjalan lancar mengikut peraturan.
Semua ahli Parlimen sebenarnya sudah tahu peraturan yang perlu dipatuhi. Namun, masih ada yang melanggarnya, sama ada kerana tidak tahu atau sengaja. Bila peraturan diabaikan, suasana menjadi kecoh seperti di luar Dewan.
Sama seperti undang-undang jalan raya atau jenayah, jika diikuti dengan betul, semuanya berjalan dengan teratur. Begitu juga dalam Dewan, perbahasan yang berhemah dan teratur hanya dapat dicapai jika peraturan dihormati.
Peranan ‘hakim’ Dewan, iaitu pengerusi sidang, sangat penting untuk menentukan siapa yang melanggar peraturan dan memastikan suasana tetap terkawal.
BOLEHKAH BERSIKAP NEUTRAL?
Saya tidak mahu mengaitkan pendirian saya dengan mana-mana individu yang menguruskan majlis. Ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili sesiapa.
Sebagai ahli Parlimen Cameron Highlands dalam blok kerajaan, saya dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat melalui undi rahsia Dewan. Dengan pemilihan itu datang tanggungjawab dan amanah besar.
Bagi saya, Speaker dan Timbalan Speaker harus menjalankan tugas dengan adil tanpa memihak mana-mana pihak, berpandukan Peraturan Mesyuarat dan undang-undang yang ditetapkan.
Jika amanah dilaksanakan dengan integriti dan mematuhi peraturan, tiada isu berat sebelah. Keadilan kepada semua pihak mesti diutamakan sepanjang mempengerusikan Dewan.
UNDANG-UNDANG PERLU DIPERKASAKAN
Cabaran paling sukar dalam mengendalikan sidang Dewan apabila ada ahli Parlimen yang mengabaikan peraturan mesyuarat dan arahan pengerusi. Dalam situasi itu, pengerusi perlu bijak menyesuaikan diri dan mencari cara terbaik untuk mengembalikan ketenteraman serta fokus Dewan kepada agenda yang ditetapkan.
Perjalanan Dewan tidak boleh menyimpang dan mesti dikembalikan kepada isu pokok. Cara sidang dikendalikan bergantung pada budi bicara, ketegasan dan kebijaksanaan pengerusi.
Dengan pengalaman lebih 34 tahun dalam penguatkuasaan undang-undang, termasuk sebagai pegawai polis, prinsip saya jelas, undang-undang mesti diperkasakan.
Peraturan Mesyuarat 44 membenarkan pengerusi menggunakan kuasa menggantung ahli yang degil sehingga 10 hari. Jika masalah berterusan, isu boleh dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk penggantungan sehingga enam bulan.
Namun, pelaksanaan tindakan bergantung pertimbangan pengerusi. Saya akan mulakan dengan amaran terlebih dahulu. Jika gangguan berlanjutan, tiada pilihan selain mengambil tindakan tegas demi memastikan mesyuarat berjalan lancar dan teratur.
POLITIK TOKSIK KE DEWAN
Teknologi menjadikan suasana Dewan sangat berbeza berbanding dahulu. Sekarang, perbahasan disiarkan secara langsung dan boleh ditonton rakyat. Maka, terpulang kepada setiap wakil rakyat sama ada ingin menggunakan peluang itu untuk berbahas secara berhemah demi kepentingan rakyat atau menyentuh perkara yang tidak relevan.
Ada yang mungkin mahu menonjolkan diri, memperkukuh populariti atau membawa agenda parti dan peribadi. Namun, tugas utama pengerusi Dewan ialah memastikan perbahasan mengikut aturan dan Peraturan Mesyuarat yang telah ditetapkan.
Pengerusi perlu bijak memastikan fokus perbahasan tidak lari daripada tajuk. Bagi saya, tiada keperluan untuk keluar dari kerangka yang telah ditetapkan. Jika isu itu penting, ia boleh dibangkitkan melalui saluran yang betul.
Sebagai contoh, Peraturan Mesyuarat 35 menerangkan cara dan masa bercakap, manakala Peraturan 37 menjelaskan kandungan perbahasan dan batas yang perlu dijaga.
Jika semua ahli Parlimen mematuhi peraturan ini, Dewan akan lebih tersusun, tenang dan berkesan.
SALAH GUNA KELEBIHAN ‘KEBAL’ DALAM DEWAN
Ada kalanya, ahli Parlimen datang meminta pandangan saya mengenai isu yang dibahaskan. Saya terbuka memberi pandangan selagi ia dilakukan dengan niat baik dan dalam kerangka tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Perlu difahami, di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, ahli Parlimen memiliki kekebalan dalam menyuarakan pandangan di dalam Dewan. Namun, kekebalan ini tidak terpakai di luar Dewan sebaliknya tertakluk kepada undang-undang jenayah, sivil dan saman fitnah.
Kadangkala, ada yang terbawa-bawa semangat perbahasan ke luar, menyangka kekebalan itu masih melindungi mereka. Salah faham ini boleh membawa implikasi undang-undang dan mencerminkan tahap integriti seseorang wakil rakyat.
Ada juga yang menyalahgunakan ruang ini demi kepentingan peribadi atau agenda politik, bukan lagi atas nama rakyat.
Hakikatnya, kebebasan di Parlimen tetap ada batasnya. Untuk mengatakan ahli Parlimen tidak faham peraturan adalah tidak tepat, kerana pada setiap permulaan penggal, mereka diberikan taklimat tentang Peraturan Mesyuarat. Dalam tempoh sebulan pertama pun, asas peraturan biasanya sudah difahami.
Mungkin wajar dicadangkan supaya satu sesi orientasi atau kelas formal diwujudkan bagi ahli Parlimen baharu, agar mereka lebih memahami peraturan dan tanggungjawab mereka.
Tambahan pula, setiap ahli Parlimen turut dibekalkan dengan buku Peraturan Mesyuarat pada awal penggal, jadi alasan ‘tidak tahu’ tidak seharusnya timbul.
PERBAHASAN LANCAR KALAU IKUT PERATURAN
Bagi saya, mudah sahaja jika semua ahli Parlimen patuh kepada peraturan mesyuarat, perjalanan Dewan pasti akan berjalan lancar. Masalah timbul bila peraturan dilanggar, lalu masa terbuang dengan perkara-perkara retorik yang tidak membawa manfaat.
Jika setiap wakil rakyat bertanggungjawab, memahami peraturan dan menghormatinya, persidangan boleh berlangsung dengan cepat dan berkesan. Namun, kadang-kadang ada yang lebih mahu menonjolkan diri sama ada untuk menunjukkan kehadiran, menarik perhatian rakyat, membawa agenda parti atau sekadar memenuhi kepentingan peribadi.
Soalnya, adakah yang dibawa itu benar-benar demi rakyat atau sekadar agenda lain? Inilah yang kita perlu fikir bersama.
BERANI MENEGUR
Apabila dilantik sebagai Timbalan Speaker, saya anggap ia amanah besar yang perlu dipegang dengan penuh tanggungjawab.
Walaupun saya ahli Parlimen dari UMNO dan berada di blok kerajaan, apabila saya duduk di kerusi Timbalan Speaker, saya bukan lagi wakil parti. Saya tidak boleh lagi melihat warna biru Barisan Nasional (BN), hijau Pas, merah DAP atau mana-mana warna politik lain.
Pendirian saya jelas, bertanggungjawab memastikan perjalanan Dewan lancar mengikut peraturan mesyuarat dan berlandaskan kepentingan rakyat.
Sewaktu saya mengendalikan mesyuarat, saya bukan lagi ‘Ramli dari kerajaan’, tetapi saya adalah Timbalan Speaker kepada seluruh Dewan Rakyat. Fokus saya hanya memastikan segala urusan dan perbahasan dijalankan secara tertib, adil dan mengikut prosedur.
Sebagai seorang Islam, saya percaya segala yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Jika ada implikasi buruk terhadap diri, saya terima dengan reda kerana itu sudah ditentukan sebagai qada dan qadar-Nya. Tugas saya hanyalah melaksanakan amanah sebaik mungkin.
Satu perkara lagi yang kita perlu ingat, di Dewan Rakyat adanya cokmar yang melambangkan kebesaran yang telah dikurniakan raja-raja Melayu. Ia menjadi simbol kuasa diraja dan seterusnya kuasa Parlimen. Ia juga melambangkan amanah ini dipikul oleh Speaker, Timbalan Speaker atau sesiapa yang mengendalikan majlis.
Kita sebagai rakyat dan penjawat awam mesti menghormati institusi diraja selaku pemerintah dan payung negara.
Jika kita sendiri dalam Dewan tidak menghormati sesama sendiri, macam mana rakyat nak hormat? Kita bercakap tentang buli, jenayah dan rasuah tapi tingkah laku dalam Dewan macam samseng pula.
Anak muda yang datang menonton akan lihat contoh buruk ini. Mereka nanti yang akan mengundi. Jadi, wakil rakyat perlu jaga tingkah laku supaya layak dipilih semula. Semua itu terpulang kepada rakyat menilai.
KENAPA TOLAK BAHAS ISU KEMATIAN ZARA QAIRINA?
Mengikut Peraturan Mesyuarat, sesuatu isu yang ingin dibahaskan di Dewan Rakyat perlu dibawa melalui usul. Malah, cara untuk membentangkan usul itu juga dinyatakan dengan jelas dalam peraturan.
Mana-mana ahli Parlimen yang ingin membangkitkan sesuatu perkara perlu mengemukakan usul tersebut secara rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat. Usul itu kemudiannya akan dipertimbangkan oleh pihak Speaker, sama ada ia boleh diterima untuk dibincangkan atau sebaliknya.
Jika isu yang dibawa benar-benar mendesak dan melibatkan kepentingan awam atau negara, maka ia boleh diberi keutamaan dan dibincangkan lebih awal daripada agenda yang ditetapkan. Kita perlu faham aturan mesyuarat sudah mempunyai agenda harian yang dijadualkan, dan hanya perkara yang benar-benar penting serta mendesak sahaja boleh didahulukan.
Daripada pengalaman saya di Dewan, memang ada ketika usul yang dikemukakan oleh pembangkang dibawa, contohnya, berkaitan isu Zara Qairina Mahathir. Mengapa usul itu ditolak, atau sama ada ia telah ditolak atau belum, saya sendiri perlu semak semula statusnya. Belum pasti sama ada ia telah diterima, ditolak, atau masih dalam pertimbangan.
Ia bergantung kepada kandungan usul tersebut. Jika ia benar-benar menyentuh kepentingan rakyat, kepentingan negara, atau bersifat mendesak dan perlu ditangani segera, maka saya berpendapat ia patut diberi ruang untuk dibahas dalam Dewan.
ENAM AHLI PARLIMEN SOKONG KERAJAAN MASIH DI BLOK PEMBANGKANG
Pada pandangan saya, mereka masih lagi dikira sebagai ahli Parlimen pembangkang. Mereka hanya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri tetapi status mereka tetap pembangkang.
Perkara ini sudah dijelaskan Speaker Dewan Rakyat. Soal sama ada mereka perlu dipecat atau tidak, itu adalah urusan parti. Mengikut peraturan, kedudukan tempat duduk ahli Parlimen dalam Dewan adalah di bawah kuasa Speaker dan perlu hormati keputusan itu.
HANYA PERLUKAN 26 AHLI PARLIMEN UNTUK HADIR
Isu kehadiran ahli Parlimen atau yang dikatakan ‘ponteng’ persidangan sebenarnya bukan di bawah kuasa mutlak Speaker atau Dewan. Kehadiran itu adalah tanggungjawab dan budi bicara ahli Parlimen itu sendiri.
Jika ada pihak yang ingin tahu siapa hadir atau tidak, mereka perlu rujuk kepada Speaker. Sama ada Speaker mahu dedahkan atau tidak, itu bergantung kepada pertimbangan beliau.
Cuma yang penting untuk difahami, dari sudut peraturan, setiap persidangan Dewan hanya memerlukan sekurang-kurangnya 26 ahli Parlimen hadir untuk ia dianggap sah.
Jika ada mana-mana ahli Parlimen tidak bersetuju dengan keputusan, mereka boleh bangkitkan permintaan untuk undi belah bahagi, asalkan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen berdiri dan menyokong permintaan itu.
Barulah undi dikira satu per satu untuk lihat siapa yang lebih ramai dan keputusan boleh dibuat secara lebih tepat.
SUARA ORANG ASLI MASIH TENGGELAM
KEPENTINGAN PENDIDIKAN
Untuk mengeluarkan masyarakat Orang Asli daripada kemiskinan, pendidikan adalah kunci utama. Lihat sahaja masyarakat Melayu, yang kini jauh lebih maju berbanding zaman 60-an, apabila pendidikan diberikan dengan serius dari biasiswa luar negara hingga penubuhan institusi seperti Institut Teknologi Mara (ITM) (sekarang Universiti Teknologi Mara, UiTM).
Pendidikan adalah jalan paling berkesan untuk memajukan masyarakat Orang Asli. Namun, untuk suara mereka lebih didengar, tiga perkara penting perlu dilakukan iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu terus berperanan untuk membela kepentingan Orang Asli, ahli Parlimen yang mempunyai kawasan Orang Asli harus memberi perhatian khusus kepada mereka dan dasar-dasar yang berkaitan perlu dilaksanakan dengan serius.
MAHU ISU TANAH ADAT JADI TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Cabaran paling besar adalah mengubah pandangan masyarakat Orang Asli agar mereka bersemangat mengejar kemajuan. Isu kebajikan dan kesihatan boleh diuruskan secara berperingkat, tetapi masalah tanah adat adalah penyakit utama yang perlu diselesaikan segera.
Bagi saya, penyelesaian jangka panjang terhadap isu tanah ini melibatkan dua perkara penting pindaan Perlembagaan dan undang-undang di peringkat negeri melalui Majlis Tanah Negara. Ini kerana tanggungjawab tanah Orang Asli terletak pada negeri, sedangkan tanggungjawab masyarakat Orang Asli berada di bawah pusat, menyebabkan kekeliruan dan pertindihan kuasa.
Jadi, penyelesaian yang jelas dan tepat sangat diperlukan demi masa hadapan Orang Asli.
Cadangan saya ialah memindahkan tanggungjawab Orang Asli kepada tanggungjawab bersama antara pusat dan negeri. Ini termasuk pindaan Perlembagaan untuk mewujudkan pengiktirafan khusus mengenai tanah adat di bawah Jadual 160, serupa dengan istilah tanah rizab Melayu.
Jika pindaan Perlembagaan sukar dilakukan, satu alternatif lain adalah melalui Majlis Tanah Negara dengan menetapkan dasar khusus. Namun, pelaksanaan undang-undang tersebut masih bergantung kepada negeri.-UTUSAN










