PETALING JAYA: Kerajaan digesa menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Buli sebagai langkah memperkukuh tindakan undang-undang dalam menangani gejala buli di negara ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, undang-undang khusus itu perlu digubal selepas insiden kematian pelajar, adik Zara Qairina Mahathir yang didakwa akibat perbuatan buli, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, insiden buli yang membawa kepada kecederaan dan kematian pelajar tidak boleh dipandang ringan, malah ia tidak harus dibiarkan menjadi budaya, khususnya di sekolah serta institusi pengajian tinggi di negara ini.
“Tindakan undang-undang yang tegas hendaklah diambil untuk memastikan kejadian menyayat hati ini tidak berulang. Justeru, saya menggesa kerajaan supaya menggubal Rang Undang-Undang Anti-Buli yang mengenakan hukuman berat terhadap pembuli dan mana-mana pihak yang cuai dalam melindungi keselamatan pelajar,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, penggubalan akta itu akan membolehkan kerangka undang-undang dan dasar yang jelas dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi melindungi pelajar daripada sebarang bentuk penganiayaan, sama ada fizikal mahupun emosi, yang boleh menjejaskan keselamatan dan nyawa mereka.
“Kita mesti bersama-sama memerangi budaya buli yang saya percaya masih berleluasa pada masa ini. Ia umpama ‘gajah di dalam bilik’, terutamanya di sekolah-sekolah berasrama. Jangan kita biarkan amalan buruk dan jahat yang menjejaskan keselamatan dan nyawa anak-anak ini berterusan,” katanya.
Malah katanya, beliau turut mengambil maklum keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mempercepatkan inkues berhubung kematian adik Zara Qairina Mahathir.
“Inkues ini hendaklah dijalankan secara telus, menyeluruh dan berpaksikan undang-undang demi mencari kebenaran dan keadilan,” katanya. – UTUSAN










