Muhyiddin gesa Sidang Khas RCI Tabung Haji dilanjut dua hari

Muhyiddin gesa Sidang Khas RCI Tabung Haji dilanjut dua hari

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sidang Khas Parlimen bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji pada 11 Ogos ini perlu dilanjutkan sekurang-kurangnya dua hari.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh lebih panjang diperlukan bagi membolehkan lebih ramai Ahli Dewan Rakyat mengambil bahagian dalam perbahasan serta mengemukakan hujah yang bernas dan substantif.

Katanya, perbahasan itu penting bagi menambah baik aspek pengurusan, tadbir urus dan prestasi Tabung Haji sebagai badan utama yang menguruskan pelaburan serta urusan ibadah haji umat Islam di negara ini.

“Saya mencadangkan supaya Sidang Khas Parlimen untuk membahaskan Laporan RCI Tabung Haji yang dijadualkan pada 11 Ogos 2026 dilanjutkan tempoh sekurang-kurangnya dua hari.

“Ini untuk membolehkan lebih ramai Ahli Dewan Rakyat mengambil bahagian dalam perbahasan dengan mengemukakan hujah-hujah yang bernas dan substantif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung laporan RCI TH akan berlangsung pada 11 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi khas itu diadakan pada tarikh ber­kenaan selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mendedahkan laporan RCI berkenaan kepada umum.

Katanya, pendedahan laporan itu memberi peluang kepada rakyat untuk mengetahui dan menilai dapatan suruhanjaya secara telus dan adil.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat beberapa aspek dalam laporan berkenaan yang masih memerlukan penjelasan lanjut daripada kerajaan.

“Antaranya, laporan audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah yang menyebabkan Tabung Haji menanggung kerugian berbilion ringgit.

“Pendedahan laporan ini memberikan peluang kepada rakyat untuk mengetahui dan menilai dapatan-dapatan suruhanjaya secara telus dan adil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN