Sumbang RM4.8 juta untuk balas budi Muhyiddin

Sumbang RM4.8 juta untuk balas budi Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah sebuah syarikat kontraktor mengesahkan beliau ada membuat pembayaran sebanyak RM4.8 juta kepada Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membalas budi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membantunya mendapatkan projek bernilai RM62 juta.

Projek yang dimaksudkan ialah Projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalur Ke Gemas, Negeri Sembilan secara rundingan terus.

Datuk Seri Azman Yusoff yang merupakan saksi pendakwaan ke-23 turut menyatakan, jumlah tersebut ditentukan berdasarkan kiraan dan kemampuan syarikatnya, KCJ Engineering Sdn Bhd untuk membuat sumbangan iaitu lima peratus daripada nilai projek.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambahnya, Azman yang juga Presiden Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) turut memaklumkan kepada mana-mana kontraktor yang ditemuinya dan ingin memohon projek di bawah Program Jana Wibawa agar iaitu membuat sumbangan kepada Bersatu.

“Saya ahli perniagaan. Saya perlu akur dengan Perdana Menteri (Muhyiddin demi kelangsungan syarikat saya. Ketika itu, industri pembinaan lumpuh, tiada projek sebab itu saya akur untuk beri sumbangan.

“Saya dan KCJ masih membuat bayaran kepada PPBM sebanyak RM4.8 juta walaupun ketika itu Tan Sri Muhyiddin tidak lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana saya sebagai ahli perniagaan ingin membalas budi di atas bantuan yang diberikan oleh TSMY yang sedikit sebanyak telah membantu saya dan KCJ untuk mendapatkan projek secara rundingan terus.

ADS:D

“Berkait dengan projek yang saya perolehi rundingan terus itu, saya tidak membuat apa-apa sumbangan kepada mana-mana parti politik lain kerana saya hanya terhutang budi kepada Tan Sri Muhyiddin yang telah membantu saya dan KCJ Engineering,” katanya.

Saksi itu berkata demikian dalam perbicaraan kes Muhyiddin yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat.

Terdahulu, Azman memberitahu bahawa beliau ada berjumpa dengan Muhyiddin selepas Kejohanan Golf Tan Sri Muhyidin Charity Golf (TSMCG) di Tropicana Golf Club Damansara pada Julai 2020.

Pada pertemuan yang hanya dihadiri oleh mereka berdua, Azman telah bertanyakan mengenai peluang-peluang perolehan projek kerajaan yang boleh dimohon oleh ahli-ahli PKBM untuk industri pembinaan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum dimaklumkan mengenai Program Jana Wibawa oleh Muhyiddin.

Ujarnya, Muhyiddin yang telah dikenalinya sejak persidangan UMNO pada sekitar tahun 2016 telah memintanya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Jana Wibawa daripada Timbalan Ketua Setiausaha Sulitnya, Asmar Asmadi Abdullah Sani.

“Pada pertemuan itu juga, Tan Sri Muhyiddin juga ada menyatakan secara spontan kepada saya, jika terdapat Ahli PKBM ataupun kontraktor yang ingin membuat sumbangan, boleh sumbangkan terus kepada Bersatu dan bukannya kepada mana-mana individu di dalam PPBM. Tan Sri Muhyiddin juga meminta saya memaklumkan perkara ini kepada Datuk Salleh Baijuri selaku Bendahari Agong PPBM,” katanya.

Tambahnya, walaupun pada ketika sumbangan RM4.8 juta itu dibuat pada ketika syarikat KCJ masih belum menerima sebarang bayaran daripada kerajaan, Azman telah mendahulukan duitnya terlebih dahulu kerana yakin syarikatnya akan mendapat bayaran bayaran pendahuluan dan tuntutan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana syarikatnya telah mendapat Surat Setuju Terima bagi projek ini.

“Saya memberikan sumbangan ini adalah kerana saya ingat akan pemakluman secara spontan Tan Sri Muhyiddin semasa saya mula bertanyakan kepada berkenaan projek rundingan terus di bawah Jana Wibawa yang mana beliau terlebih dahulu memaklumkan kepada saya berkenaan jika ingin membuat sumbangan perlulah dibuat terus kepada Bersatu.

“Saya menganggap pemakluman itu adalah satu ayat yang membawa maksud bahawa Tan Sri Muhyiddin mengharapkan akan ada sumbangan daripada syarikat yang mendapat projek di bawah Janawibawa untuk memberikan sumbangan kepada Bersatu. Jadi saya sebagai seorang ahli perniagaan yang ingin meminta sokongan dan bantuan daripadanya menganggap pemakluman itu perlu dituruti.

“Saya percaya sekiranya surat permohonan syarikat saya tidak disokong oleh Tan Sri Muhyiddin dan tidak di proses oleh Pejabat Perdana Menteri, sudah tentu syarikat saya tidak akan berjaya melalui proses penilaian di Kementerian Kewangan dan seteruskan berjaya dianugerahkan projek ini secara rundingan terus.

“Sebagai seorang ahli perniagaan yang sudah berpengalaman selama 25 tahun dalam industri pembinaan dalam projek kerajaan, saya percaya seorang Perdana Menteri boleh membantu mempengaruhi tindakan dan keputusan mana-mana Menteri di setiap kementerian dalam Kerajaan Malaysia, kerana Perdana Menteri adalah ketua Kerajaan dan mempunyai kuasa melantik dan memecat mana-mana Menteri Kabinet.

“Sekiranya syarikat saya tidak berjaya dianugerahkan Projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalur Ke Gemas, Negeri Sembilan Secara Rundingan Terus Dibawah Program Janawibawa ini, saya tidak akan membuat sumbangan kepada Bersatu,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN