KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan lima tonggak utama Kerangka Kecerdasan Buatan (AI) yang bakal memacu ekonomi dan menjadikan Malaysia sebagai negara AI yang inklusif, dipercayai dan mempunyai hala tuju jelas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lima tonggak itu iaitu dasar yang berpandangan jauh, tenaga kerja yang tangkas dan celik digital serta infrastruktur digital yang selamat dan boleh dipercayai.
Katanya, ia juga termasuk kemajuan kepercayaan digital dan pelaburan strategik yang membina ekosistem AI melalui kerjasama awam–swasta dan kolaborasi global.
“Ini lebih daripada sekadar hala tuju, ia adalah satu gerakan. Kementerian Digital dan Pejabat AI Nasional sebagai terasnya akan mengemudi inisiatif ini. Jika dahulu lebuh raya dan pelabuhan menjadi pemacu ekonomi kita, kini kita akan membina lebuh raya pintar, saluran data yang selamat, bakat masa depan dan garis panduan etika untuk AI.
“Ini langkah besar seterusnya bagi Malaysia daripada sekadar pengguna kepada pembangunan negara. Kita akan mencapainya bersama dengan perpaduan, tekad dan iltizam yang kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian pada Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata, penetapan lima tonggak Kerangka AI itu selari dengan hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara AI seperti yang dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Katanya, rancangan itu berdasarkan satu keyakinan iaitu transformasi digital mesti menjadi pemacu pertumbuhan mampan dan inklusif.
“AI bukan akan menjadi alat untuk segelintir, tetapi kuasa untuk semua memacu tadbir urus yang lebih baik, mencetuskan inovasi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Melalui Kerangka AI Negara, kita akan pastikan AI memberi manfaat kepada setiap rakyat Malaysia, di setiap pelosok negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata, bagi rantau Asia Tenggara pula, Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025 adalah peluang seumur hidup untuk membentuk AI secara inklusif, beretika dan selari dengan nilai-nilai bersama.
“Jika kita mendepani detik ini dengan pandangan jauh dan keberanian, AI boleh merapatkan jurang pembangunan, memperkasakan perniagaan kecil, memajukan komuniti luar bandar, mengukuhkan perkhidmatan awam serta memperluaskan akses kepada kesihatan, pendidikan, dan keadilan untuk semua.
“Oleh itu, kita mesti berani dan berprinsip. Visi kita mestilah untuk memanfaatkan AI bukan sekadar bagi mengejar dunia, tetapi untuk menguasainya selain menawarkan model inovasi yang berasaskan kepercayaan, berpaksikan kesaksamaan dan dibentuk dengan bangga oleh nilai-nilai Asia Tenggara,” katanya. – UTUSAN











